MEKAH: Ketua Pemegang Kunci Kaabah, Sheikh Saleh Al-Shaibi, 74, meninggal dunia di Mekah pada Jumaat, lapor Arab News.
Beliau merupakan penjaga dan pemegang kunci Kaabah ke-109, sewaktu mengambil alih tugas itu selepas kematian bapa saudaranya, Abdulqader Taha Al-Shaibi pada 2013.
Pada masa ini, fungsi penjaga dan pemegang kunci terhad kepada pembukaan dan penutupan pintu Kaabah.
Menurut anak lelaki Saleh, Abdulrahman Saleh Al-Shaibi, bapanya menghidap penyakit dan pemergian itu adalah detik paling sukar serta menyedihkan buat keluarga.
Pemergian itu turut dirasakan oleh Penulis dan Pakar Hal Ehwal Mekah, Khaled Al-Husseini yang menyifatkan Sheikh Saleh seorang ilmuwan dan ahli akademik yang berpengetahuan luas.
“Beliau bermurah hati berkongsi ilmunya kepada generasi yang mendapat manfaat daripada kepakarannya selama 20 tahun,” katanya.
Jenazah disolatkan di Masjidil Haram selepas Subuh pada Sabtu, dan Sheikh Saleh dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Mu’alla di Mekah.
Tugas menjaga Kaabah menjadi tanggungjawab keluarga Al Shaiba untuk tempoh waktu yang lama.
Tanggungjawab tersebut bermula selepas Nabi Muhammad SAW menakluki kota suci Mekah.
Baginda bersabda, keluarga Al Shaiba perlu melakukan tugas penting tersebut dan mereka melaksanakannya sejak itu.
Susulan tradisi turun-temurun, orang seterusnya yang akan menjadi pemegang kunci Kaabah juga dipilih daripada keluarga Al Shaiba. – UTUSAN










