NIBONG TEBAL: Keberadaan calon di tempat sepatutnya ketika diperlukan menjadi antara kriteria penting dititikberatkan kebanyakan pengundi di Sungai Bakap.
Mereka berpendapat, wakil rakyat yang dipilih nanti mestilah seorang yang cakna, sentiasa boleh mendengar keluh-kesah diutarakan selain berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan mutu perkhidmatan diri.
Bagi Norsiah Kaharuddin, 45, dia tidak akan ‘memangkah’ sebarangan calon, sebaliknya meneliti latar belakang setiap terlebih dahulu.
“Bagi saya, wakil rakyat yang baik sentiasa ada untuk rakyatnya dalam sebarang keadaan kecuali jika dia mempunyai hal tidak boleh dielakkan.
“Dalam hal ini, saya percaya pengundi-pengundi di Sungai Bakap boleh membuat keputusan tepat siapakah calon yang menjadi pilihan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada Perikatan Nasional (PN) 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Berikutan itu, PN memilih pembantu kepada Allahyarham Nor Zamri iaitu Abidin Ismail, 56, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal sebagai calon mereka.
Lawan Abidin pada hari pengundian, 6 Julai ini ialah bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang juga seorang tokoh pendidik iaitu Dr. Joohari Ariffin.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Sungai Bakap, Mohd. Raof Rizaruddin, 38, berkata, selain mahukan wakil rakyat yang tidak ‘lari’ meninggalkan kawasannya, berkebolehan untuk memimpin dan mendidik pada masa sama turut penting.
“Sebab itu saya percaya, latar belakang pendidikan bakal wakil rakyat itu juga penting walaupun itu bukan kriteria utama.
“Ya, saya yakin semua pengundi mahukan calon yang mereka cakap boleh buat kerja. Tapi, untuk memastikan kerja yang dibuat itu berkualiti, mereka perlu ada ilmu dan pengalaman,” katanya.- UTUSAN










