KUBANG PASU: Kejadian ribut yang merosakkan beberapa rumah penduduk di sekitar Changlun, di sini dikatakan antara yang terburuk pernah melanda kawasan itu.
Seorang mangsa, Rokiah Musa, 74, berkata, kejadian berlaku ketika kebanyakan penduduk sedang tidur, namun ketika kejadian dia belum lena.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu saya belum tidur dan berada di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi deruan angin yang kuat.
“Saya terkejut apabila nampak bumbung di ruang tengah dan dapur rumah terangkat. Pada masa itu, saya hanya teringat untuk mengucap dua kalimah syahadah sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Changhai, di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya tujuh buah rumah rosak dalam kejadian ribut yang melanda sekitar Kubang Pasu, selain turut mengakibatkan banyak pokok tumbang di beberapa lokasi.
Setelah keadaan reda dia bersama seorang anak dan cucu perempuan yang sebelum itu berlindung di dalam sebuah bilik keluar untuk melihat keadaan rumah dan mendapati kesemua bumbung di ruang tengah dan dapur sudah tiada.
“Bumbung di ruang tengah terjatuh di tepi rumah, selain ada kepingan bumbung zink lain ditemui tersangkut di atas pokok kelapa setinggi 10 meter dan juga berselerak di kawasan bendang sejauh 200 meter,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Haziana Abdul Hamid, 58, yang mengusahakan kedai bakeri di Jalan Sintok, berkata, bumbung premis miliknya turut rosak.
“Kerugian akibat kerosakan bumbung dianggarkan lebih RM15,000. Mujur kira-kira 400 biji roti yang baru siap dimasak tidak basah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Changlun, Zainol Abidin Mohamad berkata, dia meninjau beberapa rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian itu dan bersedia membantu membaiki bumbung yang mengalami kerosakan kecil.
“Bagi kerosakan yang besar, saya akan bantu penduduk di sini untuk mendapatkan bantuan daripada agensi dan pihak berkaitan,” katanya.- UTUSAN
KEADAAN rumah Rokiah Musa yang ketiadaan bumbung akibat dibadai ribut dalam kejadian di Kampung Chengai, Changlun di Kubang Pasu. –UTUSAN









