JIKA bukan kerana mengalami kecederaan lutut sudah tentu Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah tidak memilih sukan bina badan sebagai kariernya sehingga mencipta kejayaan di persada dunia.
Syarul Azman, 51, yang mesra disapa Mike pernah beraksi bersama legenda bola sepak negara, Azman Adnan ketika kedua-dua figura itu mewakili Kuala Lumpur.
Mengimbau kembali permulaan Mike berkecimpung dalam sukan bina badan, dia pernah dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan bawah 19 namun disebabkan kecederaan lutut bekas jaguh bina badan negara itu mengubah haluannya.
“Dulu saya main di posisi pertahanan kiri dan pernah dipanggil menyertai skuad B-19 negara. Namun, lutut saya cedera dan disebabkan saya tidak melakukan pembedahan berikutan faktor kewangan saya hanya melakukan latihan angkat bebanan di gimnasium.
“Pada mulanya saya buat latihan angkat bebanan kerana mahu kuatkan otot kaki tetapi berlaku perubahan pada bentuk tubuh saya dan bermula daripada situ saya tidak menoleh ke belakang lagi,” katanya.
Mike mengabdikan dirinya dalam sukan bina badan selama 27 tahun berkata kejohanan pertama yang disertainya dalam sukan bina badan selepas bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ada pegawai perasan saya kerap berlatih dan dia mengajak saya untuk mewakili kontinjen Kuala Lumpur dalam pertandingan bina badan Mr. Police (Piala Ketua Polis Negara) dan selebihnya adalah sejarah,” katanya lagi.
Bercakap mengenai cabaran, Mike mengakui kewangan menjadi faktor utama memandangkan sukan bina badan memerlukan wang yang banyak untuk makanan dan suplemen.
“Wang saya banyak dihabiskan pada makanan dan suplemen. Dianggarkan RM800,000 hingga RM900,000 jumlah wang yang telah saya belanjakan sepanjang berkecimpung dalam sukan bina badan.
“Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan yang sudi menaja saya. Mereka amat memahami perjalanan karier saya,” ujarnya lagi.
Mike mengumumkan persaraannya pada Mac lalu turut dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023 selepas enam kali berada dalam senarai calon akhir malah dia juga merupakan atlet bina badan ketiga menerima anugerah tersebut selepas Datuk Malek Noor dan Sazali Samad.
“Saya benar-benar terkejut apabila menerima anugerah tersebut malah tidak menyangka memandangkan saya sudah menjadi calon akhir sebanyak lima kali tapi tidak pernah menang,” katanya. – UTUSAN
BIODATA
Nama: Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah
Asal: Kuala Lumpur
Umur: 51 tahun
Tarikh lahir: 7 Jun 1973
PENCAPAIAN
Olahragawan Kebangsaan 2023
Mr Universe
2016, 2017, 2018, 2019, 2022, 2023
Mr Asia
2015, 2016, 2017, 2018, 2019, 2023
Sukan SEA 2021
Pingat emas










