SEREMBAN: Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kepentingan masyarakat Orang Asli dijangka dibentang di Parlimen selewat-lewatnya pada 2027 iaitu ketika penggal ke-15 Dewan Rakyat berakhir.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, untuk tujuan itu proses libat urus termasuk bersama masyarakat Orang Asli sedang dijalankan sebelum beberapa proses lain iaitu melibatkan persetujuan Perdana Menteri, Kabinet dan Majlis Raja-Raja.
“Libat urus pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi kepentingan masyarakat Orang Asli sudah dijalankan empat kali dan Alhamdulillah ia telah mendapat sokongan masyakarat Orang Asli di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang Barat, Perak dan Kedah.
“Saya sendiri akan ambil tanggungjawab berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini dan saya sasarkan selepas selesai semua libat urus saya akan bawa kepada Perdana Menteri dan seterusnya, paling lewat sebelum tahun 2027 iaitu sebelum penggal Ke-15 ini habis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan taklimat pindaan Perlembagaan Persekutuan sempena Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Pengerusi JPKKOA dan Penyerahan Inisiatif Geran JPKKOA Negeri Sembilan 2024 di Pantai di sini.
Ramli menjelaskan, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu nanti melibatkan dua perkara iaitu yang pertama jadual tanggungjawab berkaitan kebajikan Orang Asli dan juga memasukkan Orang Asli dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
“Dicadangkan dalam pindaan ini, tanggungjawab menjaga Orang Asli itu diletakkan dalam Jadual Bersama, supaya negeri kena jaga, Pusat juga kena jaga, sebab banyak isu, seperti tanah, perhutanan juga negeri jaga tetapi kebajikan Orang Asli di bawah Pusat.
“Selain itu juga kita melihat Perkara 153 iaitu kepentingan masyarakat dan bumiputera peribumi Sabah dan Sarawak, dalam itu tidak dimasukkan Orang Asli, saya akan cadangkan untuk pindaan ini,” katanya.
Beliau juga menambah, pada masa yang sama, sesi libat urus berkaitan pindaan Akta Orang Asli 1954 juga sedang berjalan dan dijangka dapat dibentangkan pada tahun 2025.-UTUSAN.
RAMLI Mohd. Nor bersalaman dengan peserta Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Pengerusi JPKKOA dan Penyerahan Inisiatif Geran JPKKOA Negeri Sembilan 2024 di Pantai, Seremban hari ini.










