KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan memohon bajet tambahan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf gelanggang di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, dekat sini.
Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, pada ketika ini, venue berkenaan sedang dinaik taraf kemudahan asas membabitkan tempat duduk, bumbung, tandas dan penghawa dingin sejak September tahun lepas.
“Memandangkan projek naik taraf ini masih lagi berjalan, kita bercadang untuk membuat permohonan tambahan bagi menaik taraf gelanggang kaca dan gelanggang latihan.
“Kita akan cuba merayu bajet tambahan ini kerana pada ketika ini gelanggang kaca sudah mula menggunakan teknologi baharu seperti pada Kejohanan Dunia di Mesir, baru-baru ini, jadi, kita berpendapat usaha tersebut perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan SRAM di sini, hari ini.
Menurut beliau, Pusat Skuasy Nasional tidak pernah dinaik taraf secara besar-besaran sejak Sukan Komanwel 1998.
Jelas Gerard, sepatutnya kerja-kerja menaik taraf siap pada September ini, namun, disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu projek tersebut dijangka tidak dapat dilengkapkan mengikut jadual.
“Oleh disebabkan kelewatan yang berlaku, kami berasakan elok juga kami memohon bajet tambahan untuk gelanggang kerana sebelum ini kerja-kerja membaik pulih hanya dibuat secara kecil-kecilan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Gerard memberitahu, pada Masyuarat Agung SRAM yang diadakan, hari ini, tiada perubahan yang berlaku terutamanya bagi jawatan-jawatan utama.
Tambahnya, beliau masih mengekalkan jawatannya selaku Presiden SRAM dengan Mohamad Azlan Iskandar sebagai Timbalan Presiden.
Sharon Wee dan Andrew Muthu turut mengekalkan kedudukan mereka sebagai Naib Presiden, manakala, Mohd Nafzahizam Mohd Adnan sebagai Setiausaha Kehormat serta T. Randy Chitty selaku Bendahari Kehormat. – UTUSAN










