Keracunan makanan boleh mengundang maut

Keracunan makanan boleh mengundang maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Amat menyedihkan apabila ada kes yang membabitkan kanak-kanak maut akibat keracunan makanan dan lebih merisaukan ada pesakit tidak mendapatkan rawatan. Ramai yang memandang remeh apabila mengalami keracunan makanan sedangkan ia boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat segera atau dirawat dengan betul.

Ramai yang tidak mengetahui bahaya kuman Salmonella yang bukan saja boleh menyebabkan keracunan makanan seperti cirit-birit, sakit perut, muntah, loya dan demam tetapi boleh menganggu fungsi organ.

Pakar Perubatan Am dan Penyakit Berjangkit Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Ismaliza Ismail berkata, gejala keracunan makanan disebabkan oleh Salmonella tidak boleh dipandang ringan.

“Pesakit boleh sembuh tanpa memerlukan rawatan khusus. Bagaimanapun, pesakit boleh mendapat gejala sehingga menyebabkan dehidrasi teruk yang mengancam nyawa.

“Golongan kanak-kanak, warga tua dan pesakit yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah seperti pesakit kanser, kencing manis dan sebagainya, berisiko lebih tinggi mengalami kesan keracunan makanan akibat Salmonella,” katanya kepada Mingguan Malaysia. 

Katanya, dehidrasi berlaku apabila badan kekurangan air akibat cirit-birit, seterusnya ia boleh menyebabkan tekanan darah rendah dan denyutan jantung laju. Pengaliran darah yang membawa oksigen ke organ di seluruh badan juga boleh berkurangan dan seterusnya menjejaskan fungsi buah pinggang.

“Air kencing yang sedikit menunjukkan gejala fungsi buah pinggang sudah terjejas dan lebih membimbangkan, darah menjadi berasid dan sekiranya teruk, pesakit memerlukan dialisis.

“Kegagalan fungsi hati juga boleh menyebabkan darah menjadi berasid. Hati juga boleh mengalami keradangan dan apabila fungsinya terjejas, darah sukar untuk membeku. Pesakit juga mudah mengalami pendarahan dan lebam selepas pengambilan darah,” katanya.

Tambah Dr. Ismaliza, dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan pesakit koma atau kurang sedar dan meracau. Selain itu, darah yang berasid juga boleh menyebabkan ritma jantung bercelaru (arrhythmia) ataupun berhenti (cardiac arrest). Seterusnya boleh menyebabkan kematian.

JENIS KUMAN

Terdapat beberapa jenis kuman Salmonella iaitu Salmonella typhi, Salmonella paratyphi dan non-typhoidal Salmonella. Bagaimanapun, kuman Salmonella typhi boleh menyebabkan demam kepialu atau tifoid.

“Jangkitan kuman Salmonella pada manusia berpunca daripada makan makanan tercemar seperti telur, daging lembu, ayam, itik dan susu. Ada juga kes jangkitan melibatkan sayur-sayuran tercemar dengan baja mengandungi kuman Salmonella.

“Gejala keracunan makanan boleh bermula seawal enam hingga tujuh jam sehingga 72 jam selepas makan makanan tercemar. Bakteria ini boleh merebak dari usus ke salur darah dan kawasan lain di dalam tubuh,” katanya.

Justeru, keluarga terdekat seperti ibu bapa perlu mengawasi tanda-tanda keracunan makanan dalam tempoh disebutkan yang memerlukan anak-anak dibawa segera ke hospital.

Antara tanda amaran yang perlu diawasi, pesakit mungkin mengalami salah satu atau kedua-dua gejala seperti muntah dan cirit-birit dengan kerap sehingga tidak dapat makan dan minum.
“ Ini mengakibatkan pesakit mengalami keletihan yang keterlaluan dan pesakit terlantar sehingga tidak dapat bangun untuk ke bilik air.

“Pesakit juga boleh mengalami demam dengan suhu sangat tinggi melebihi 38 darjah celsius dan badan menggeletar. Mereka mungkin meracau dan tidak berapa sedarkan diri,” katanya.

Kebanyakan pesakit sembuh dalam tempoh empat hingga tujuh hari tanpa rawatan tetapi dalam sesetengah kes boleh menjadi teruk dan perlu segera ke hospital untuk dimasukkan air ke dalam badan.

LANGKAH PENCEGAHAN

Dr. Ismaliza berkata, adalah penting untuk memastikan makanan dimasak dengan betul dan dimakan dalam keadaan masih panas.

“Elakkan meminum susu mentah yang diperah daripada lembu atau kambing dan pastikan hanya minum susu yang sudah dididihkan bagi mengelakkan risiko keracunan.

“Amalkan membasuh tangan setiap kali hendak memasak atau menyentuh makanan. Minum air yang bersih dan gunakan ais daripada sumber air bersih,” katanya.

Selain daging dan ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan juga boleh tercemar. Justeru, basuh sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum dimakan. Dinasihatkan juga supaya kulit buah-buahan dikupas sebelum dimakan.

Dr. Ismaliza menyarankan makanan yang sudah dimasak, hendaklah dimakan dalam masa empat jam selepas dihidangkan pada suhu bilik. Ini kerana bakteria boleh bertambah banyak dengan cepat ke tahap berbahaya dan boleh menyebabkan pesakit mendapat gejala keracunan.

“Penggunaan alat-alat dalam penyediaan makanan juga mestilah bersih manakala makanan yang sudah dimasak dan mentah hendaklah diasingkan selain memastikan makanan dimasak sepenuhnya,” terangnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×