Talian hayat rakyat pedalaman

Talian hayat rakyat pedalaman

Di kawasan pedalaman Sabah, khidmat doktor udara terus menjadi talian hayat kepada mereka yang menghadapi masalah kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berada di kawasan tidak boleh diakses menerusi pengangkutan darat dan air menyebabkan perkampungan yang jauh di pedalaman masih bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan doktor udara (FDS).

Petugas kesihatan lima hingga enam orang akan dihantar menaiki helikopter ke lokaliti-lokaliti yang penduduknya tiada akses untuk ke fasiliti kesihatan. Khidmat doktor udara itu akan mendarat di satu kawasan strategik di kampung-kampung tersebut dan akan menerima `pelanggan’ membabitkan pesakit luar dan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit darah tinggi atau kencing manis termasuklah pemeriksaan terhadap ibu-ibu mengandung.

Namun, sekiranya mereka perlu mendapatkan rawatan pakar berpunca penyakit kronik maka penduduk berkenaan tiada pilihan terpaksa menempuh perjalanan berhari-hari untuk tiba di hospital yang mempunyai khidmat pakar.

Itulah situasi biasa dan masih dilalui penduduk Kampung Kabu di Pensiangan, Sabah yang biasanya mengambil masa empat atau lima hari perjalanan untuk sampai ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.

Seorang Pembantu Perubatan FDS, Milford ,30, berkata, dalam tempoh enam tahun berkhidmat bersama FDS, kisah seorang pesakit yang mengidap penyakit kulit kronik atau psoriasis dari Kampung Kabu itu paling menyentuh hatinya.

Dr. NUR AISHAH Shaharuddin (kiri) bersama petugas kesihatan FDS menaiki helikopter Akademi Penerbangan Layang-Layang untuk memberi khidmat kepada penduduk pendalaman.

“Pesakit itu ditemui sekitar tahun 2020 dan menerusi pengalaman dan air mukanya yang seperti `mengemis’ untuk sembuh telah memberi kesedaran kepada saya. Dia (pesakit) betul-bertul berikhtiar untuk keluar dari kampung dan mendapat rawatan di HQE.

“Justeru, walaupun terpaksa menempuh perjalanan lima hari, berliku dan bahaya namun berkata semangat kuatnya dia sampai ke Kota Kinabalu. Dalam tempoh perjalanan dia menaiki bot dari kampung tersebut dan terpaksa bermalam di Kampung Lumbis di sempadan Sabah-Kalimantan, Indonesia sebelum meneruskan perjalanan ke Pensiangan.

“Kemudian dari Pensiangan perlu menaiki kenderaan ke Keningau yang mengambil masa kira-kira enam jam berjalanan ke Pekan Keningau kerana keadaan jalan pada masa itu masih teruk,” katanya.

Milford berkata, usaha yang diambil oleh pesakit tersebut membawa hasil yang positif apabila penyakit kulit yang dihadapi semakin baik dan terkawal. Namun, dia masih perlu mendapatkan rawatan susulan di HQE sekali dalam tempoh setahun.

Kata beliau, kisah sebegini yang meninggalkan kesan mendalam terhadapnya sepanjang bertugas dalam pasukan FDS.

LOKALITI FDS DI SABAH

Dr Nur Aishah Shaharuddin, 32, pula berkata, ketika ini terdapat 12 lokaliti atau kampung yang masih menerima perkhidmatan mereka di Sabah, berbanding 32 lokaliti semasa awal 2000.

Sebanyak 12 lokaliti yang masih menerima perkhidmatan doktor udara adalah Kampung Longkogungan dan Kampung Kalangan di Penampang; Kampung Panulangon, Ranau; Kampung Kabu, Kampung Saliliran, Kampung Karampalon dan Kampung Pengaraan di Pensiangan; Kampung Pohon Batu, Kampung Binanon, Kampung Nangkawangan di Nabawan serta Kampung Sonsogon Makatol dan Kampung Mongis di Kota Marudu.

Sebahagian penduduk yang menunggu giliran untuk mendapat rawatan doktor udara di sebuah kawasan pedalaman Sabah baru-baru ini.

Setiap kali FDS berkunjung ke lokaliti-lokaliti tersebut, mereka mengambil masa antara dua jam atau lebih bergantung kepada jumlah pesakit yang mahu mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Secara purata, kira-kira 30 hingga 50 orang pesakit akan mendapatkan perkhidmatan kesihatan apabila FDS tiba di kampung-kampung tersebut.

Perkhidmatan yang FDS berikan biasanya perkhidmatan untuk pesakit luar, penyakit akut serta penyakit tidak berjangkit. Selain itu, khidmat FDS banyak melibatkan dengan penyakit berkaitan kebersihan seperti kudis buta dan penyakit panau.

PENERIMAAN MASYARAKAT

Nur Aishah berkata, apabila berhadapan dengan pesakit di kampung, mereka mudah menerima nasihat daripada doktor mahupun petugas kesihatan yang lain.
Namun, berbeza dengan pesakit di bandar, mereka lebih suka mempersoalkan semula apa yang dinasihatkan kerana terpengaruh dengan maklumat diperoleh daripada carian Google dan sebagainya.

“Semasa bertugas di Klinik Kesihatan Penampang sebelum ini, apabila kita bagi ubat dan nasihat, ada pesakit yang akan cadangkan benda lain berdasarkan apa yang diketahui melalui carian Google,” katanya.

Bagi Jururawat Masyarakat, Dasmayun Dulajis,50, berkata, semasa mula menyertai FDS pada 2013, beliau juga berpendapat pesakit di luar bandar menerima baik kunjungan mereka kerana perkhidmatan yang telah bermula sejak 1970-an.

“Namun, sebagai orang baharu yang menyertai FDS ketika itu, saya berhadapan dengan kekangan bahasa, terutama apabila masuk ke kawasan Kadazandusun dan Murut (KDM). Sekarang, saya sudah boleh memahami apa yang orang kampung ingin sampaikan,” katanya.

Sepanjang bertugas dalam pasukan FDS, beliau memang melihat wujud perbezaan antara pesakit di bandar dan di luar bandar. Bagi pesakit di luar bandar biasanya mereka menerima nasihat dengan baik dan tidak membantah.

Bagaimanapun, untuk pesakit di bandar yang banyak terdedah dengan pelbagai maklumat melalui carian Google maka, mereka mempunyai pendapat sendiri mengenai satu-satu penyakit yang dihidapi.

KEPERCAYAAN ORANG KAMPUNG

Jururawat Sheron William,33, berkata, setelah empat tahun berada dalam pasukan FDS, beliau sedar bahawa pendidikan kesihatan harus selari dengan adat dan kepercayaan orang kampung.

Sebahagian penduduk yang menunggu giliran untuk mendapat rawatan doktor udara di sebuah kawasan pedalaman Sabah baru-baru ini.

“Kita tidak boleh beri nasihat seperti kita bercakap dengan orang bandar sebab orang kampung masih berpegang teguh kepada kepercayaan kaum. Jadi, semasa memberi pendidikan kesihatan, kami akan cuba selarikan dengan kepercayaan kaum tersebut.

“Namun, nasihat mengenai pendidikan kesihatan itu haruslah betul. Cuma kita cuba selarikan dengan kepercayaan mereka,” katanya.

Sheron berkata, tugasnya lebih kepada mendidik ibu-ibu mengandung tentang penjagaan kesihatan dan kandungan masing-masing.

Berdasarkan perkhidmatan yang diberi, kebanyakan wanita mengandung di luar bandar kekurangan darah merah disebabkan protein tidak mencukupi. Malah, mereka turut kekurangan zat besi atau iron.

Selain itu, mereka juga menasihatkan ibu-ibu mengandung supaya ke hospital lebih awal untuk bersalin bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengakibatkan kematian.

“Kami melihat ibu-ibu mengandung memang keluar lebih awal untuk bersalin di hospital dan mereka faham apa itu kelahiran selamat di fasiliti kesihatan. Biasanya mereka akan berada di bandar sehingga urusan surat lahir anak selesai,” katanya.

Sheron berkata, biasanya di luar bandar ramai ibu-ibu muda dan paling muda pernah beliau temui berusia 16 tahun. Jadi, mereka sentiasa menasihatkan ibu-ibu muda agar menjarakkan kehamilan demi kesihatan dan keadaan ekonomi mereka.

TERKANDAS AKIBAT CUACA

Menurut Sheron, bertugas dalam pasukan FDS memerlukan mereka sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk bermalam di lokaliti yang dikunjungi apabila cuaca kurang baik.

“Sepanjang bertugas dalam pasukan FDS, saya pernah terkandas di Pensiangan dan Bongawan. Kami bermalam satu malam di kampung tersebut sebelum terbang semula keesokan harinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Juruterbang Helikopter Kumpulan Layang-Layang, Nazeem Eleazar Nasip berkata, musim hujan memberi cabaran kepadanya untuk membawa pasukan FDS ke kawasan pedalaman.

“Adakala cuaca semasa perjalanan ke kampung baik tetapi ketika mahu pulang, cuaca mencabar. Kalau cuaca tidak mengizinkan, saya akan singgah ke kampung atau pekan berhampiran.

“Setakat ini, sudah tiga kali pasukan FDS terpaksa bermalam di Bongawan dan Keningau kerana cuaca tidak mengizinkan untuk kami meneruskan penerbangan pulang,” katanya.
Nazeem berkata, helikopter yang digunakan adalah jenis Bell 206 long range dan mampu memuatkan lima hingga enam orang penumpang dengan kapasiti muatan kira-kira 450 kilogram.

Perkhidmatan FDS jarang perlu menghantar pesakit keluar tetapi sekiranya perlu, mereka hanya boleh membawa pesakit yang berbadan kurus kerana kekangan muatan helikopter.

Kongsinya, penerbangan paling lama adalah ke Kampung Bantul, Pensiangan yang mengambil masa satu jam 30 minit tetatpi kalau cuaca tidak baik, boleh mengambil masa sampai empat jam perjalanan pergi dan balik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×