KLANG: Pelaksanaan semula dasar kabotaj di Sarawak membantu melindungi syarikat perkapalan domestik daripada persaingan asing sehingga kerugian teruk atau gulung tikar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu dibuat berdasarkan permintaan kerajaan Sarawak yang memfokuskan kepentingan dan kelangsungan syarikat tempatan.
Menurutnya, dasar itu hanya membenarkan syarikat perkapalan domestik mengangkut kargo barangan ke Sarawak antara Semenanjung dan Sabah.
“Sarawak mempunyai banyak syarikat perkapalan yang berpangkalan di negeri itu termasuk industri membaiki kapal. Jadi, kalau tiada kapal domestik, bagaimana mereka ada perniagaan.
“Ia sudah tentu memberi pelbagai kesan kepada industri negara dan kita memutuskan kembalikan kabotaj di Sarawak selepas ambil kira semua perkara itu,” katanya pada sidang akhbar perasmian persinggahan sulung kapal kontena M.V. MTT Bintangor di Pelabuhan Barat di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan jemaah Menteri bersetuju melaksanakan semula dasar kabotaj bagi kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sarawak.
Langkah itu diambil atas permintaan Kerajaan Sarawak bagi menyokong pertumbuhan industri perkapalan tempatan yang terancam dengan pengecualian dasar kabotaj sejak 1 Jun 2017.
Ini kerana, Sarawak mempunyai industri perkapalan yang sangat besar termasuk pembinaan dan pembaikan kapal dan beberapa syarikat perkapalan Malaysia berpangkalan di Sarawak.
Dasar kabotaj adalah dasar diperkenalkan kerajaan pada 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang, sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.
Mengulas lanjut, menurut Siew Fook, bagaimanapun Sabah masih dikecualikan kerana kerajaan negeri tidak bersetuju bagi pengembalian dasar yang sebelum ini dikecualikan pada 2017 dengan membenarkan kapal asing untuk memunggah barangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“Namun, adakah itu merendahkan kos barangan di Sabah dan Sarawak? Jawapannya tidak begitu membantu dan ada kesan buruknya.
“Ini termasuk membuka persaingan apabila perkhidmatan domestik ini dibuka kepada syarikat perkapalan asing, banyak syarikat perkapalan tempatan tidak dapat berdaya saing. Maka, banyak syarikat perkapalan pun gulung tikar,” katanya.
Dalam pada itu, kata Siew Fook, kerajaan akan mengutamakan syarikat tempatan sebagai operator kepada pelabuhan antarabangsa ketiga yang dijangka dibina di Pulau Carey, Kuala Langat. – UTUSAN










