JEMPOL: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bahau, di sini, diarahkan tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berikutan terdapat murid di situ yang dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, sekolah itu ditutup selama empat hari bermula semalam sehingga Isnin ini bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan bagi memastikan murid lain tidak dijangkiti penyakit itu.
Menurutnya, setakat tahun ini, hanya sekolah berkenaan sahaja terpaksa ditutup selepas 12 murid dikesan dijangkitinya.
“Secara keseluruhannya terdapat 419 orang murid di sekolah berkenaan dan lapan murid dikesan dijangkiti HFMD pada Khamis (kelmarin) membabitkan penutupan tiga buah kelas.
“Semalam, empat lagi murid dijangkiti dan tindakan lanjut adalah kesemua 17 buah kelas ditutup bagi kerja-kerja pembersihan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Roslan turut menasihatkan kepada ibu bapa untuk sentiasa memberi perhatian kepada kesihatan anak masing-masing.
Kata beliau, sekiranya anak mereka mempunyai simptom HFMD, langkah awal diambil untuk memastikan anak sembuh sebelum dihantar ke sekolah.-UTUSAN.










