19 individu didakwa diperdaya skim pelaburan mesin minuman - Utusan Malaysia

19 individu didakwa diperdaya skim pelaburan mesin minuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sebuah syarikat yang didakwa bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal dipercayai telah memperdaya mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan mesin minuman.

Syarikat ini telah menyasarkan mereka yang kurang berkemampuan dan ingin menambah pendapatan sebagai mangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini, pihaknya sudah menerima 19 aduan daripada pengadu berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh mereka setelah menyertai satu skim pelaburan mesin minuman ditawarkan oleh sebuah syarikat menyebabkan kerugian RM1,840,000.

Menurutnya, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat terbabit adalah di mana pengadu dijanjikan dengan satu pulangan dividen yang lumayan serta manfaat lain yang ditawarkan dan dijanjikan oleh pihak syarikat kepada mereka.

“Kami mengesyaki bahawa janji yang diberikan oleh syarikat terbabit adalah tidak benar dan/atau tidak wujud kerana mangsa mangsa atau pengadu tidak pernah menerima langsung sebarang bayaran dividen atau pulangan sepertimana yang dijanjikan oleh syarikat itu.

“Di samping itu, pengadu juga tidak pernah ditunjukkan atau dikemukakan sebarang bukti bahawa mesin minuman air layan diri terbabit memang benar-benar wujud dan ada atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, ini adalah kerana segala maklumat yang diberikan kepada pengadu adalah dari ejen pemasaran syarikat itu sendiri.

“Dapat dilihat juga terdapat kemungkinan dokumen yang dikemukakan semasa pemasaran skim pelaburan ini berlaku adalah disyaki juga tidak wujud atau dokumen yang diada-adakan oleh syarikat ini.

“Konsep atau modus operandi syarikat ini adalah di mana mereka akan mencari pelanggan miskin dan tidak berkemampuan untuk menyertai skim pelaburan ini,” jelasnya.

Beliau berkata, ini adalah kerana berdasarkan keterangan dan aduan yang diterima dari pengadu, kebanyakannya menunjukkan bahawa mereka ini berminat untuk menyertai skim pelaburan ini adalah kerana mereka ingin membuat pendapatan pasif di samping pekerjaan seharian utama yang mereka lakukan.

“Sebagai makluman, ejen pemasaran yang dilantik untuk memasarkan skim pelaburan ini akan menerima komisyen, yang mana ia akan diberikan oleh pihak syarikat terbabit apabila mereka berjaya untuk menarik pelanggan bagi menyertai skim pelaburan ini.

“Namun begitu, daripada makluman yang kami terima, ejen pemasaran terbabit dikatakan telah ditipu oleh pihak syarikat untuk memasarkan skim pelaburan mesin minuman air layan diri ini,” katanya.

Katanya, permasalahan mulai timbul apabila pengadu tidak dapat menerima sebarang pembayaran pulangan atau keuntungan seperti mana yang dijanjikan dan ditawarkan oleh syarikat terbabit.

“Pengadu berhubung dengan ejen pemasaran wakil syarikat namun, tiada jawapan positif yang diberikan.

“Alasan yang diberikan oleh pihak syarikat dan pengarah syarikat adalah kerana perniagaan pada ketika itu tidak dapat dijalan kerana perintah kawalan pergerakan yang diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia sebelum akhirnya mereka memaklumkan syarikat sudah ditutup kerana menanggung hutang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×