KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat 16 kes jangkitan Leptospirosis atau kencing tikus yang dikaitkan dengan aktiviti mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Menderu, Kemaman.
Pengarah JKNT, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, berdasarkan siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, hanya dua kes sahaja yang disyaki Leptospirosis.
Menurutnya, dua kes itu dilaporkan mempunyai sejarah mengunjungi kawasan rekreasi Air Terjun Menderu, Kemaman pada Mei dan Jun tahun ini.
“Bagaimanapun, bagi tahun 2023, tiada sebarang kes Leptospirosis yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kawasan rekreasi Air Terjun Menderu, Kemaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, tular dakwaan kononnya terdapat 16 kes Leptospirosis berlaku di Air Terjun Menderu di Kemaman yang menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ia adalah lokasi perkelahan terkenal di daerah tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, notifikasi bagi kes pertama disyaki Leptospirosis diterima pada 27 Mei 2024 namun, ujian pengesahan Leptospirosis yang dijalankan adalah negatif.
“Seterusnya, notifikasi kes kedua diterima pada 20 Jun lalu dan sampel darah kes untuk ujian pengesahan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam (MKA) Perol, Kelantan dan masih menunggu keputusan.
“Jabatan akan terus memantau perkembangan terkini kejadian jangkitan Leptospirosis serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan ketika melakukan aktiviti di mana-mana kawasan rekreasi untuk mengelakkan jangkitan penyakit Leptospirosis,” katanya.
Tambahnya, kebersihan kawasan persekitaran ketika melakukan aktiviti rekreasi perlu diutamakan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak meminum air dari sungai dan memilih makanan serta minuman dari sumber yang bersih.
“Orang ramai juga perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya bergejala setelah mengunjungi mana-mana pusat rekreasi,” katanya. – UTASAN








