KUALA LUMPUR: Malaysia merayu kepada Persekutuan Sukan SEA; (SEAGF) untuk menyenaraikan semula beberapa sukan yang berpotensi menyumbang pingat emas buat negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Dalam mesyuarat jawatankuasa SEAGF baru-baru ini, beberapa sukan yang menjadi tradisi lubuk emas negara seperti karate, angkat berat dan wushu dikeluarkan daripada pertandingan.
Sebaliknya, SEAGF mencadangkan sebanyak 40 sukan berserta dua sukan demonstrasi seperti cakera terbang dan tarik tali dipertandingkan di temasya dwitahunan edisi ke-33 itu.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia bakal kehilangan beberapa sandaran pingat emas dan rayuan itu perlu diusahakan dan reaksi segera Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) terlibat.
NSA berperanan penting membuat rayuan bagi cadangan untuk mengembalikan semula sukan yang dikeluarkan daripada senarai termasuk karate, jujitsu, boling padang, angkat berat dan wushu.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, setiap persatuan sukan perlu mengemukakan rayuan mengenainya sebelum 31 Ogos ini agar tidak kehilangan peluang sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025.
“Menurut piagam dan peraturan SEAGF, tuan rumah mempunyai hak untuk mencadangkan senarai sukan awal daripada pelbagai acara selepas berbincang bersama kerajaan mereka. Majlis SEAGF akan mempertimbangkan rayuan daripada negara lain untuk kelulusan.
“MOM dalam proses untuk mengemukakan rayuan untuk sukan tambahan kepada SEAGF sebelum tarikh akhir. Semua rayuan akan dikumpulkan dan akan dibincangkan semula oleh negara tuan rumah yang mana ia perlu mendapat sokongan majoriti.
“Pada ketika ini, kita perlu menghormati tuan rumah dalam menyenaraikan sukan yang mereka inginkan,” kata Norza ketika ditemui pada Pengadil Antarabangsa Kyorugi dan Poomsae anjuran Taekwando Malaysia (TM) di Wisma MOM, semalam.
Pada edisi lalu di Kemboja, sukan karate menyumbang empat pingat emas, wushu (dua emas) manakala angkat berat dan jujitsu membawa pulang satu gangsa.
Boling padang menjadi prospek terkuat Malaysia jika dipertandingkan di Thailand tahun depan berikutan kejayaan menyapu bersih empat emas dan dua gangsa daripada enam acara pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
Dalam pada itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan mengumumkan Norza dilantik sebagai Naib Pengerusi Kedua Jawatan Eksekutif SEAGF pada mesyuarat terbabit. – UTUSAN










