LUMUT: Dua lelaki dilaporkan hilang ketika mencari siput belitung di kawasan Sungai Tuntung, Pantai Remis, dekat sini sejak kelmarin.
Kedua-duanya, Abdul Talib Harun, 55, dan Azman Mat Jaab, 61, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari siput berkenaan sehari sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kehilangan itu dilaporkan oleh anak kepada salah seorang lelaki yang dilaporkan hilang itu di Balai Polis Pantai Remis pada Rabu lalu.
“Pengadu mengambil keputusan untuk membuat laporan polis setelah mendapati bapanya tidak pulang ke rumah melebihi 24 jam.
“Anak mangsa yang berusia 28 tahun tidak pernah membuat laporan kehilangan bapanya itu sebelum ini,” katanya di sini hari ini.
Berikutan itu, beliau kemudian mengarahkan Pos Kawalan Tempat Kejadian ( PKTK ) dibuka serta-merta di Kampung Sungai Tuntung, Pantai Remis, bagi mencari dan menyelamatkan (SAR) kedua-dua lelaki tersebut.
Sementara itu, seramai 10 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis menggunakan dua pikap dan dibantu Unit Anjing Pengesan K9 bagi mengesan mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pasukan SAR dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan Alpha, Bravo dan Charlie.
“Team Alpha bersama anggota unit K9 membuat pencarian di kawasan Alor Sungai Pak Ya dalam radius tiga kilometer (km), manakalaBravo membuat pencarian di Alur Merah dalam radius tiga km perjalanan.
“Kedua-dua pasukan dipandu oleh orang awam yang mahir dengan kawasan tersebut, sementara pasukan Charlie dan orang awam membuat pencarian di kawasan Alur Sungai Besar menuju ke Alur Sungai Merah,” ujar beliau.
Namun, maklumnya, mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditangguhkan pada pukul 6 petang tadi dan akan disambung semula pada pukul 8.30 pagi esok.
Selain anggota polis, bomba dan orang awam, SAR itu turut disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM). – UTUSAN











