Sindiket lesap RM24.2 juta: Seorang penjawat awam direman

Sindiket lesap RM24.2 juta: Seorang penjawat awam direman

INDIVIDU yang disyaki terlibat dalam kehilangan beberapa akaun simpanan sebuah bank diiring keluar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman terhadap seorang penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kehilangan beberapa akaun simpanan sebuah bank yang berjumlah RM24.2 juta.

Suspek wanita berusia 40-an itu dikenakan perintah reman selama tiga hari oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas permohonan reman dikemukakan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Perintah reman penjawat awam ini bermula esok sehingga 24 Jun. Ini adalah kes tangkapan terbaharu yang dilakukan semalam dan suspek dipercayai terlibat kerana terpengaruh dengan tunangnya yang merupakan salah seorang pegawai bank yang ditahan sebelum ini.

Dalam pada itu, Majistret turut melanjutkan perintah reman selama tiga hari terhadap 10 individu termasuk pegawai bank yang disyaki terlibat dalam kes kehilangan beberapa akaun simpanan sebuah bank.

Kesemua suspek yang berusia antara 20-an hingga 50-an dilanjutkan reman bermula hari ini sehingga 23 Jun bagi membolehkan siasatan kes berkenaan diteruskan.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menyatakan 13 individu warga tempatan telah ditahan berhubung sindiket kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank yang berjumlah RM24.2 juta.

Beliau berkata, individu yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia 22 hingga 53 tahun. Kesemua mereka ditahan bermula pada Khamis minggu lalu sehingga Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×