Ubah persepsi program Masscomm - Utusan Malaysia

Ubah persepsi program Masscomm

MOHD. Hapizi Mohd. Ali (tiga dari kanan) ketika merasmikan Communifest 2024 di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Kota, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Persepsi bahawa program Komunikasi dan Pengajian Media atau lebih dikenali sebagai Masscomm khususnya yang ditawarkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) hanya untuk mereka yang mahu menjadi artis ataupun hanya bekerja di hadapan kamera perlu diubah.

Menurut pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Arriesha Nabilah, selain menjadikan pelajarnya lebih mahir dan yakin ketika di hadapan orang ramai, penuntut program Masscomm juga kini banyak didedahkan dengan ilmu digital.

“Antara persepsi yang biasa wujud dalam kalangan pelajar serta masyarakat adalah program Masscomm hanya sesuai untuk mereka yang mahu menjadi artis, membuat kerja mudah selain bekerja di hadapan kamera sahaja.

“Sedangkan menerusi program ini banyak kelebihan diperoleh antaranya lebih berkeyakinan dan juga dapat menguasai ilmu digital seperti penghasilan poster yang menarik.

“Sekarang ini memang ramai yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk kerja yang lebih cepat namun menerusi program Masscomm pelajar akan menghasilkan poster menggunakan aplikasi tertentu. Ilmu asas ini amat penting dalam memastikan pelajar lebih kreatif, selain memenuhi tuntutan untuk mereka menguasai dunia digital,” katanya.

Dia ditemui pemberita pada majlis perasmian program CommuniFest 2024 di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Kota di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, UiTM Rembau, Maizura Manshor dan Pengetua Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Mohd. Hapizi Mohd. Ali.

Arriesha Nabilah yang merupakan ketua projek tahun akhir Communifest 2024 memberitahu, sehubungan itu dia bersama 35 pelajar yang lain mengambil langkah menganjurkan program itu bagi mengubah persepsi pelajar sekolah mengenai Masscomm.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan tentang komunikasi dan media kepada para pelajar sekolah sambil menggalakkan mereka untuk memperluaskan pengetahuan tentang pelbagai jurusan dalam program diploma ini. 

“Program ini juga merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial universiti untuk meningkatkan kemahiran pelajar sekolah tentang pendidikan digital yang menyokong aspirasi kementerian,” katanya lagi.

Tambahnya, Communifest 2024 ini juga merupakan sebuah program dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau iaitu sebahagian daripada keperluan akademik subjek Projek Profesional bagi pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Pengajian Media.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×