Lelaki tikam mati isteri direman tujuh hari - Utusan Malaysia

Lelaki tikam mati isteri direman tujuh hari

LELAKI yang ditahan kerana dipercayai membunuh isterinya di sebuah hotel di Batu Gajah semalam, dibawa untuk prosiding reman di Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Lelaki yang ditahan kerana disyaki menikam isterinya sehingga mati dalam kejadian di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah di sini semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin dalam prosiding di Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini.

Permohonan reman itu dikemukakan pihak polis kepada mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek berusia 36 tahun itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju Melayu dan seluar lokap berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.33 pagi sebelum dibawa keluar 14 minit kemudian.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 32 tahun ditemukan mati dengan kesan tikaman di badan dalam sebuah bilik hotel di sini.

Kejadian itu terbongkar selepas seorang lelaki yang juga suami mangsa tampil menyerah diri kepada polis sekitar pukul 2 petang.

Siasatan awal mendapati, motif suspek melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang mahu meneruskan tuntutan fasakh walau pun telah dipujuk.

Berdasarkan semakan, pasangan suami isteri itu datang ke hotel berasingan dan menginap di hotel itu sejak kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×