PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pemain warisan, Kobe Chong masih belum mengadakan sebarang perbincangan untuk pemain itu mewakili Harimau Malaya pada masa akan datang.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan bersama pemain itu biarpun beliau dilaporkan berada di Kuala Lumpur ketika ini.
“Tiada (perbincangan) setakat ini,” kata Noor Azman ketika diminta mengulas sama ada produk akademi bola sepak West Bromwich Albion itu ada datang berbincang dengan FAM tentang masa depannya bersama skuad kebangsaan.
Kobe kali terakhir dikesan beraksi bersama kelab England, King’s Lynn dengan kontraknya difahamkan tamat pada 30 Jun ini, sekali gus menimbulkan pelbagai khabar angin tentang destinasi baharunya.
Beberapa hari lalu, Kobe menerusi laman media sosial Instagram miliknya memuat naik gambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kemudiannya berjalan di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Susulan itu, media melaporkan bekas pemain kelab Itali, Cagliari itu berminat untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan akan melakukan rundingan dengan beberapa pasukan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super pada Ogos ini.
Bagaimanapun, Kobe tidak menjelaskan secara terperinci mengapa beliau datang ke Malaysia, namun ia mencetuskan spekulasi peminat bola sepak tanah air iaitu ada usaha untuk meyakinkan pemain itu bagi beraksi bersama Harimau Malaya.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan Kobe dan seorang lagi pemain iaitu Wan Kuzain hampir selesai dalam mendapatkan pasport Malaysia sekaligus dibenarkan beraksi bersama skuad kebangsaan.
Kobe sendiri sudah lama memberi bayangan yang mana beliau berminat untuk beraksi bersama Malaysia di peringkat antarabangsa dan kini terpulang kepada FAM dan staf kejurulatihan yang dipimpin oleh Kim Pan Gon bagi meyakinkan pemain itu.
Bagi Wan Kuzain pula, beliau kini beraksi bersama St Louis City SC 2 dan pernah menyertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 kerana masalah dokumentasi.
Bagaimanapun, bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal memberikan isyarat bahawa anaknya bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya tidak lama lagi. – UTUSAN










