LAHAD DATU: Hasrat murni seorang lelaki menyelamatkan adik dan anak saudaranya yang dihanyutkan arus deras berakhir tragedi selepas mangsa ditemukan lemas di Sungai Dewata, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ahli keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Lahad Datu yang berada pada jarak 32 kilometer atau 40 minit perjalanan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 33 tahun bersama ahli keluarganya ke Sungai Dewata untuk berkelah dan mandi-manda bermula pukul 10.30 pagi.
Namun, kira-kira pukul 11 pagi, adik dan anak saudara mangsa berusia 16 tahun dan 10 tahun yang sedang mandi di tepi sungai dihanyutkan arus deras dan dalam keadaan terkapai-kapai mengapungkan diri serta menjerit meminta tolong.
“Mangsa bersama dua iparnya bertindak terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka. Namun, mangsa tidak timbul ke permukaan air setelah adik dan anak saudara mangsa diselamatkan.
“Ibu mangsa yang menyedari ketiadaan mangsa di lokasi tempat kejadian meminta dua menantunya mencari mangsa. Usaha mencari menemukan mangsa dan dibawa ke tebing sungai dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulbaharin berkata, ahli keluarga mangsa membawa mangsa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan namun, disahkan meninggal dunia oleh petugas Jabatan Kecemasan pada pukul 12.49 tengah hari.-UTUSAN











