KUALA TERENGGANU: Sebanyak 2,500 papan telur gred A, B dan C yang baru tiba di sebuah kedai borong di Kampung Chabang Tiga di sini, habis dijual dalam masa tiga jam.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, orang ramai mula beratur seawal pukul 7.30 pagi untuk mendapatkan sumber protein itu pada harga terbaharu yang berkuat kuasa Isnin lalu.
Pengurus syarikat borong, Nursyzanil Adha Ramli berkata, sebanyak 2,700 papan telur pelbagai gred diterima semalam yang hanya berbaki 200 papan telur premium dan telur ayam kampung selepas tiga jam beroperasi.
Katanya, pihaknya tidak meletakkan had pembelian menyebabkan telur gred A, B dan C ‘laku keras’ dalam masa singkat selain telur gred AA dan gred D turut laris.
“Ketika hendak buka kedai pukul 7.30 pagi, orang ramai sudah beratur untuk membeli telur dan tidak sampai pukul 11 pagi, hanya tinggal telur Omega dan telur ayam kampung.
“Kira-kira 2,500 papan atau 75,000 biji telur gred A, B dan C paling laris sehingga habis dijual dalam masa tiga jam menyebabkan pelanggan yang datang lewat terpaksa pulang tangan kosong.
“Dari segi bekalan ada sedikit pengurangan berbanding 4,600 atau 5,000 papan yang biasa diterima, cuma trip penghantaran masih stabil,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, seorang peniaga char kuetiau, Mohd. Hafizi Rusli, 41, berkata, dia sanggup beratur panjang untuk mendapatkan telur gred B pada harga RM12 sepapan berbanding harga lama RM12.90.
“Sebanyak 10 papan telur diperlukan setiap hari untuk menjalankan perniagaan dan saya dapat berjimat antara RM250 sehingga RM270 sebulan dengan penurunan harga runcit telur ini.
“Cuma apa yang saya harap bekalan telur tidak terganggu kerana ia antara bahan mentah paling penting dan digunakan semua sama ada golongan peniaga atau untuk kegunaan isi rumah,” katanya. – UTUSAN










