Cakna kewangan elak terjerat skim pelaburan palsu

Cakna kewangan elak terjerat skim pelaburan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan pendidikan kewangan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dapat membantu masyarakat daripada terus terjerat dengan skim pelaburan palsu.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Lee Chin berkata, pihak berkuasa dan institusi kewangan perlu meningkatkan usaha memberikan pendidikan kewangan kepada masyarakat.

Katanya, program pendidikan kewangan boleh dijalankan di sekolah, universiti, dan juga kempen awam yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Pihak berkuasa juga kata beliau, perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat, dengan melakukan pemantauan lebih rapi terhadap platform media sosial yang sering menjadi medium penipuan.

“Media massa dan media sosial juga harus digunakan dengan lebih agresif untuk menjalankan kempen kesedaran bahaya skim penipuan pelaburan. Kisah-kisah mangsa penipuan juga boleh dijadikan contoh untuk memberi pengajaran kepada orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, jahil dan tamak dua faktor utama masih ramai terpedaya dengan skim penipuan pelaburan yang ditawarkan terutamanya di media sosial.

Tambah Lee, untuk mengenal pasti medium pelaburan yang selamat, individu perlu sentiasa lakukan penyelidikan mendalam mengenai syarikat atau platform pelaburan sebelum membuat sebarang pelaburan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bijak dan tidak terburu-buru membuat pelaburan adalah cara paling mudah mengelakkan terjerat dalam skim pelaburan palsu.

Menurutnya, majoriti penduduk Malaysia masih tidak mempunyai ilmu pengetahuan secukupnya dalam pengurusan kewangan peribadi sehingga mereka mengambil jalan mudah membuat pelaburan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×