BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menggesa usaha paling maksimum untuk melindungi nyawa dan harta benda daripada terkesan akibat ribut kuat serta banjir yang melanda beberapa wilayah di negara republik itu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan maut dalam kejadian banjir lumpur akibat hujan berterusan di wilayah selatan.
Jinping mengarahkan pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan nyawa dan harta benda, selain memastikan kestabilan sosial secara keseluruhan dalam tempoh bencana, lapor Xinhua.
Di wilayah Guangdong, sekurang-kurangnya lima orang maut dan 13 yang lain terperangkap, selain 1,400 rumah penduduk ranap dan 8,000 hektar tanaman rosak akibat banjir kilat serta tanah runtuh.
Hujan berterusan meragut empat nyawa dan menyebabkan infrastruktur komunikasi serta elektrik tidak berfungsi di Shanghang, sebuah daerah di wilayah Fujian. Wilayah itu juga berdepan risiko lebih banyak tanah runtuh.
Sementara itu, empat orang dilaporkan masih hilang dalam kejadian banjir kilat di wilayah barat Xinjiang, semalam.
Di kawasan pergunungan Changji di Xinjiang, pegawai kecemasan memaklumkan keadaan hujan lebat mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh sehingga menghalang laluan di sebuah bandar.
Dalam kejadian berasingan di wilayah Guangxi, pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir, dengan kira-kira 23,600 orang di 10 daerah terjejas.
Menurut media kerajaan, amaran banjir kilat juga dikeluarkan di wilayah Zhejiang dan Jiangxi, berikutan hujan lebat berterusan selama dua hari.
Jabatan cuaca menjangka hujan lebat lebih kerap berlaku di wilayah Guangxi, Jiangxi, Fujian, Zhejiang dan Anhui, dengan air di kebanyakan sungai juga melebihi paras amaran.










