Bangunan asrama SMK Kuala Nerang terbakar - Utusan Malaysia

Bangunan asrama SMK Kuala Nerang terbakar

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di aras tiga bangunan yang menempatkan bilik asrama SMK Kuala Nerang di Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, di sini terkejut apabila bangunan menempatkan asrama sekolah itu terbakar dalam kejadian pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, dua unit bilik asrama yang dijadikan tempat penyimpanan barang serta bilik air di aras tiga bangunan musnah 90 peratus.

Insiden tersebut bagaimanapun tidak melibatkan mangsa kerana difahamkan semasa kejadian pelajar sesi pagi baru hendak memulakan sesi persekolahan, manakala pelajar sesi petang sedang menjalankan kegiatan riadah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.37 pagi.

“Setibanya di lokasi didapati dua bilik asrama sekolah yang dijadikan tempat penyimpanan barang dan sebuah bilik air terbakar. Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

“Operasi pemadaman melibatkan dua jentera dari BBP Kuala Nerang dan api dapat dikawal pada pukul 7.55 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×