Ahli jemaah masjid 'gempar', bayi perempuan merengek, menangis di ruang solat wanita - Utusan Malaysia

Ahli jemaah masjid ‘gempar’, bayi perempuan merengek, menangis di ruang solat wanita

BAYI yang baharu dilahirkan masih bertali pusat ditemui penduduk di ruang solat wanita Masjid Kampung Lubuk Kulit di Lipis, Pahang. - FOTO/IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kira-kira 20 orang jemaah lelaki dan wanita ‘gempar’ apabila terdengar suara seorang bayi merenggek dan menangis di ruang solat Masjid Kampung Lubuk Kulit di sini hari ini.

Ketika tiba di masjid pada pukul 5.30 pagi untuk menunaikan solat Subuh, para jemaah terkejut melihat bayi ditinggalkan di ruang solat wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Kulit, Mazlan Jali berkata, dia yang baru melangkah masuk ke masjid terdengar suara jemaah wanita mengelilingi bayi tidak berdosa berkenaan.

“Bayi perempuan ini ditemukan oleh jiran yang tinggal berdekatan masjid yang datang lebih awal lalu memaklumkan kepada saya serta jemaah lelaki yang baharu sampai untuk solat Subuh.

“Ketika ditemukan, bayi yang berusia beberapa hari ini diletakkan di atas sejadah berlipat dan diselimuti kain. Bayi ini sedar apabila jemaah wanita mendekatinya,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Kulit di sini hari ini.

Menurut Mazlan, para jemaah serta jiran berdekatan terkejut dan gempar dengan penemuan tersebut yang belum pernah berlaku kejadian pembuangan bayi di situ.

“Keadaan bayi perempuan ini kelihatan sihat dan cuma merengek serta menangis kecil mungkin mahu susu. Saya dan penduduk sedih kerana ada pihak tidak bertanggungjawab membuang insan tidak berdosa di rumah ibadat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Lipis, Superintenden Ismail Man mengesahkan penemuan bayi perempuan tersebut.

“Kejadian pada pukul 5.30 pagi ini dimaklumkan oleh seorang penduduk Kampung Lubuk Kulit kepada anggota Balai Polis Padang Tengku. Bayi itu ketika ditemukan penduduk dalam keadaan baik dan masih mempunyai tali pusat,” katanya.

Menurutnya, bayi perempuan itu kini berada di Hospital Lipis untuk siasatan serta rawatan lanjut.

Katanya, polis sedang mengesan ibu bapa bayi tersebut untuk mengetahui dia ditinggalkan di masjid tersebut.

“Kes disiasat di bawah Sesyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di talian 093121999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×