PETALING JAYA: Penurunan harga telur tiga sen bagi setiap gred dilihat tidak memberi impak besar kerana peniaga dan rakyat masih perlu membeli barang asas lain dengan harga mahal.
Oleh itu, kerajaan turut disaran menurunkan harga barangan keperluan asas lain supaya dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pengumuman kerajaan berhubung penurunan harga telur menggembirakan namun kerajaan disaran melihat harga barang lain bagi menjamin kestabilan ekonomi domestik.
Katanya, penurunan harga barang keperluan asas secara tidak langsung dapat meningkatkan kuasa beli pengguna malah mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan B40.
“Kami menyambut baik penurunan harga telur kerana ia dapat mengurangkan tekanan kewangan dihadapi rakyat. Sekurang-kurangnya ada juga sumber protein yang lebih murah dapat dinikmati oleh golongan tidak berkemampuan.
“Para peniaga perlu mengambil peluang ini untuk menurunkan harga makanan yang dijual di kedai supaya orang ramai dapat menikmatinya pada kadar berpatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel, kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur gred A, B dan C diturunkan tiga sen berkuat kuasa serta merta.
Sementara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, pihaknya tidak menafikan penurunan harga telur memberi faedah kepada rakyat namun ia perlu diimbangi dengan harga barangan keperluan lain agar dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.
Menurut beliau, para peniaga akan mengalami kesukaran untuk menurunkan harga jualan kerana penurunan tersebut tidak mampu menampung kos penyediaan secara keseluruhan.
“Kerajaan perlu turunkan harga jualan runcit bagi barangan keperluan harian seperti minyak masak, beras, tepung, ubi kentang dan gula supaya para peniaga dapat menyediakan makanan dengan kos yang lebih rendah dan dijual pada harga bersesuaian.
“Diharapkan penurunan ini tidak akan menjejaskan para penternak kerana keuntungan yang sedia ada itu agak kecil supaya mereka dapat menyediakan bekalan telur yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran,” katanya. – UTUSAN










