Sejak berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, pelbagai persepsi negatif dilontarkan kepada UMNO. Seolah-olah semuanya salah UMNO dan UMNO perlu dihukum atas ucapan dan luahan kata-kata sebahagian pemimpinnya dalam PAU 2020.
Tidak salah untuk mengkritik UMNO atas tindakan dan kata-kata pemimpinnya. Tetapi adakah dalam dunia demokrasi, setiap parti yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh meluahkan apa yang difikirkan itu tidak adil kepadanya?
Sepatutnya kita perlu berterima kasih kepada UMNO kerana secara ikhlas telah menyatakan apa yang terbuku selama ini. Jika UMNO bertindak tikam dari belakang, lagi bahaya. Sekurang-kurangnya UMNO berterus terang.
Bayangkan jika UMNO tidak menyatakan apa yang terbuku selama ini, tiba-tiba bertindak dan menyerkap? Sebagai umat Islam, kita perlu berlapang dada dan husnuzon atas setiap tindakan dan kata-kata UMNO dalam PAU 2020.
PAU adalah hari UMNO untuk menyatakan apa yang terbuku daripada akar umbi sehingga kepimpinan tertingginya. Sebenarnya masih ada masa untuk melakukan penambahbaikan dalam usaha dan gerakan penyatuan ummah. Cuma jika boleh, tubuhkan sebuah jawatan kuasa penyelaras penyatuan ummah di peringkat kerajaan Pusat.
Bukan mudah untuk perbaiki politik Melayu dan politik ummah yang sudah berdekad-dekad hidup dalam percaturan, berpuak-puak, bermusuh, pecah dan perintah. Tidak salah mendengar apa yang diperkatakan oleh kepimpinan UMNO.
Cuma, kita tidak boleh menggelabah dan terlalu sensitif dengan kata-kata dan tindak-tanduk UMNO.
Kita perlu berjiwa besar dan berani mengubah sesuatu yang sudah sekian lama berlaku perpecahan Melayu dan Islam di negara ini. Jangan menuding jari dan menambah lagi segala luka serta duka antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun Pas di Terengganu.
Kita perlu membawa balik ketiga-tiga parti Melayu ini ke meja bulat dalam wacana intelektual yang lebih memfokus ke arah penyelesaian dan penyatuan Melayu dan Islam lebih jitu. Jangan salahkan sama ada UMNO atau Bersatu atau Pas dalam semua hal berkaitan politik Melayu dan Islam.
Perlu difahami, sebagai manusia yang dicipta Allah SWT, mempunyai perasaan, emosi dan keegoan, adakalanya memerlukan perhatian yang lebih dalam penyelesaian tersebut.
UMNO sudah sekian lama menjadi parti pemerintah, tiba-tiba hilang kuasa menjadi pembangkang. Apabila terbentuk kerajaan di bawah PN, harapan dan jangkaan UMNO sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak, tidak tercapai. Hampa.
UMNO seolah-olah tersisih. Ini menyebabkan kekecewaan dan gundah gulana bagi UMNO yang mengingatkan kembali seperti dahulu. Matlamat UMNO atau Pas atau Bersatu adalah sama, untuk kepentingan Melayu (bumiputera) dan Islam.
Maka dengan matlamat yang sama, apa yang diperlukan adalah memperkasakan hubungan dan silaturahim antara ketiga-tiga parti tersebut.
Permasalahan utama adalah wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang ingin melihat perpecahan Melayu dan Islam terjadi. Mengambil kesempatan, menjadi gunting dalam lipatan.
Melalui perpecahan ini akan menguntungkan matlamat kumpulan tersebut dalam menguasai politik negara. Perancangan ini sudah lama dilakukan oleh puak-puak ultra kiasu.
Maka jawatan kuasa penyelaras penyatuan politik Melayu dan Islam perlu menangani permasalahan kumpulan tersebut agar tidak merencatkan realisasi penyatuan berkenaan.
Tambahan pula, reformasi dan transformasi penyatuan politik Melayu dan Islam perlu dijadikan agenda utama kepimpinan negara hari ini. Ini amat penting agar kestabilan dan pengukuhan perpaduan Melayu dan Islam tidak mudah tunduk kepada mana-mana pihak yang mempunyai agenda tertentu.
Perpecahan memang mudah berlaku berbanding penyatuan yang dicemburui oleh musuh yang tidak senang melihat Melayu dan Islam bersatu di bawah satu payung. Masih ada masa dan ruang untuk pertahankan Muafakat Nasional (MN) dan perkasakan PN andai kata mahu dilaksanakan.
Jika kita terus dengan ego dan emosi, seolah-olah tidak ada panduan lagi, maka tunggulah kehancuran yang bakal menimpa. Apakah kita sudah lupa dengan ingatan Allah SWT dan pesanan Rasulullah SAW?
Apabila berselisih dalam hal kehidupan (agama), maka wajib kembali kepada al-Quran dan sunnah (an-Nisa 4: ayat 59).
Para ulama mentafsirkan, pada keduanya, Kitabullah dan sunnah, terdapat pemisah (penyelesaian) terhadap segala permasalahan khilafiah, sama ada secara jelas atau tidak.
Ini kerana agama ini dibina atas Kitabullah dan sunnah rasul-Nya, dan tidaklah menjadi lurus (benar) keimanan itu melainkan dengan kedua-duanya.
Imam Ibnul Qayyim mentafsirkan, Allah SWT memerintahkan orang-orang beriman agar mengembalikan permasalahan yang mereka berselisih kepada Allah dan Rasul-Nya jika mereka benar-benar orang beriman. Ia merangkumi seluruh masalah yang diperselisihkan oleh orang-orang yang beriman, berupa masalah agama sama ada kecil atau besar, yang terang atau samar.
Dalam tafsir Ibnu Kathir mengingatkan sesiapa yang tidak berhukum kepada al-Quran dan sunnah dalam persoalan yang diperselisihkan serta tidak merujuk kepada kedua-duanya dalam hal itu, maka dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian.
Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).










