PETALING JAYA: Sebanyak 25,580 individu di negara ini direkodkan didiagnosis autisme dalam tempoh tiga tahun lepas.
Statistik orang kurang upaya (OKU) aktif subkategori pembelajaran autisme oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu turut menyaksikan peningkatan antara 2021 hingga 2023.
Sejumlah 4,734 kes autisme dicatatkan pada 2021, diikuti 8,489 kes pada 2022 dan 12,357 kes pada 2023.
Bagaimanapun, statistik yang dilihat Utusan Malaysia itu tidak memperincikan kategori umur serta jantina mereka yang didaftarkan sebagai OKU aktif subkategori pembelajaran atau autisme.
Autisme merupakan gangguan neurologi yang memberi kesan kepada perkembangan otak dan keupayaan individu.
Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin berkata, punca seseorang itu boleh didiagnos sebagai autisme masih lagi menjadi tanda tanya dalam kalangan pakar sehingga kini.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan berpunca daripada saluran darah tersumbat di otak sehingga menyebabkan seseorang itu memiliki ciri-ciri autisme.
“Autisme ini ada kategori seperti tahap ringan dan hiperaktif. Tingkah laku seseorang yang didiagnos autisme juga tidak sama antara satu sama lain. Mereka berbeza, ada yang pandai, boleh berkomunikasi dan sebaliknya.
“(Setakat ini) tidak ada ubat untuk menyembuhkan gangguan autisme, kita cuma boleh latih mereka berdikari untuk mandi, berus gigi, memakai baju, membaca dan menulis,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Statistik OKU aktif subkategori pembelajaran autisme itu menyaksikan Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 5,514 kes diikuti Johor (3,183 kes), Kuala Lumpur (2,846 kes) dan Sabah (2,106 kes).
Seterusnya sebanyak 1,912 kes dicatatkan di Sarawak, Kedah (1,671 kes), Perak (1,542 kes), Kelantan (1,288 kes), Pahang (1,248 kes) dan Pulau Pinang (1,207 kes).
Melaka pula mencatatkan sejumlah 907 kes, Terengganu (904 kes), Negeri Sembilan (876 kes), Perlis (199 kes) dan Labuan (177 kes).
Difahamkan autisme diklasifikasi di bawah masalah pembelajaran yang merupakan salah satu tujuh jenis OKU selain lembam, sindrom Down, kurang upaya intelektual, masalah pembelajaran spesifik dan lewat perkembangan global.
Mengulas lanjut, Megat Ahmad Shahrani berkata, gangguan autisme boleh dikesan sejak usia tiga tahun.
Katanya, antara ciri-cirinya adalah mereka tidak mempunyai sebarang interaksi atau temuan mata (eye contact) serta tidak boleh bercakap dan tidak boleh mendengar bunyi nyaring.
Pada masa sama, beliau mengakui menjaga anak-anak autisme agak memberi tekanan terutama ketika mereka memberontak.
“Nasihat kepada ibu bapa yang ada anak autisme, kena jumpa doktor psikiatri dan doktor akan beri ubat penenang dan tidak agresif. Apabila anak agresif dan tidak boleh dikawal, ibu bapa berpotensi akan pukul mereka.
“Selain itu, ibu bapa juga disaran menyertai kumpulan penjaga yang mempunyai anak autisme supaya boleh tahu cara menjaga kanak-kanak istimewa ini.
“Mereka tidak boleh berseorangan, kena dapatkan nasihat daripada ibu bapa lain yang ada anak besar (bantu) untuk nasihat,” katanya. – UTUSAN










