Bekas atlet Para, isteri gigih cari rezeki

Bekas atlet Para, isteri gigih cari rezeki

Che Fauzi Abdullah dan Noor Azizah Zainol bergambar di hadapan bengkel mereka yang terbengkalai kerana kekurangan modal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Walaupun bergerak dengan berkerusi roda sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) dari Bukit Jenun di sini tidak berputus asa mencari rezeki tanpa meminta-minta.

Che Fauzi Abdullah, 48, yang juga bekas atlet Para Sukan Malaysia (Sukma) kini bekerja di sebuah bengkel kenderaan manakala isterinya, Noor Azizah Zainol, 40, mengusahakan perniagaan colek buah yang dijual secara dalam talian bagi menampung kehidupan seharian.

“Sejak meninggalkan dunia sukan sebagai atlet angkat berat pada 2019, saya bekerja di sebuah bengkel ubah suai kenderaan OKU dengan pendapatan sehari RM90. Upah saya bergantung kepada tempahan dan selalunya empat hari seminggu.

“Isteri pula buat bisnes colek buah secara kecil-kecilan untuk menampung pendapatan kami. Kami bekerja dan berniaga walaupun dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM900 sebulan bagi ka­tegori OKU demi meningkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Banggol Basin, Bukit Jenun di sini semalam.

Cerita Che Fauzi, dia me­ninggalkan kerjaya sebagai atlet enam tahun lepas kerana faktor usia selain menumpukan perhatian kepada kerjayanya itu.

“Had umur atlet seperti saya ini sehingga 44 tahun. Lagipun kerjaya sebagai atlet para tidak memberi pendapatan yang cukup kerana tiada elaun bulanan yang tetap. Bayaran hanya ketika saya memenangi pingat dalam perlawanan sahaja.

“Terakhir saya meraih gangsa di Sukma, Perak sebelum saya buat keputusan untuk berhenti. Seterusnya saya tumpu perhatian kepada kerja di bengkel sahaja,” kata bekas atlet angkat berat ka­tegori 56 kilogram ini.

Che Fauzi berkata, dengan wang simpanan hasil kemena­ngannya itu juga dia mampu membina rumah selain sebagai modal bagi perniagaan iste­rinya.

“Isteri berhasrat untuk membesarkan perniagaannya dan saya pula mahu membina bengkel di sebelah rumah kami selain membeli peti ais namun belum ada rezeki. Saya pernah meminta bantuan geran untuk membina bengkel namun tidak lulus.

“Saya hanya mampu buat bumbung sahaja itu pun berhabis lebih RM2,000. Minta bantuan zakat tetapi tidak lulus harap adalah rezeki nanti,” katanya yang tidak boleh berjalan sejak lahir.

Noor Azizah yang menderita tulang rapuh berkata, perniagaan colek, Sis Comel itu mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara.

“Tetapi saya ada masalah untuk membuat stok yang banyak kerana tidak ada tempat untuk menyimpan. Impian saya agar bengkel ini dapat dibina kelak kerana saya ingin membesarkan perniagaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×