PADA 10 hingga 14 Jun di Geneva, Switzerland, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-112.
Penyertaan dalam persidangan ini amat penting dan signifikan kerana melaluinya, Malaysia mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (No. 155) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) kepada Ketua Pengarah ILO, Gilbert F. Houngbo.
Artikel 4 konvensyen ini menghendaki setiap negara anggota merumuskan, melaksanakan dan mengkaji semula secara berkala dasar nasional yang koheren mengenai keselamatan pekerjaan, kesihatan pekerjaan dan persekitaran kerja. Matlamat dasar ini adalah untuk mencegah kemalangan dan kecederaan kepada kesihatan yang berpunca dari berkaitan dengan atau berlaku semasa bekerja, dengan meminimumkan, sejauh yang praktikal, punca bahaya yang wujud dalam persekitaran kerja.
Tidak diketahui apa yang berlaku menyebabkan Malaysia terlewat selama 43 tahun untuk meratifikasi konvensyen yang telah diterima pakai oleh ILO sejak 22 Jun 1981 lagi tetapi hanya setelah Sim mengambil alih jawatan Menteri Sumber Manusia barulah ini berlaku.
Bagaimanapun, lebih baik lewat daripada tidak pernah. Penyertaan Sim dan delegasi dalam konvensyen ini akhirnya membuktikan komitmen tinggi kerajaan Malaysia memastikan standard perburuhan negara dapat ditingkatkan selari dengan standard perburuhan antarabangsa.
Turut menyaksikan acara bersejarah peratifikasian tersebut ialah Presiden Malaysian Trade Union Congress (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani dan Presiden Malaysian Employers Federation (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, atas dasar semangat tripartite di Malaysia.
Sim juga menyampaikan ucapan negara dalam sidang plenari yang menyentuh mengenai pembaharuan kontrak sosial bagi menyokong tema persidangan ILC tahun ini, iaitu Menuju kepada Kontrak Sosial Baharu.
Dalam Laporan Ketua Pengarah ILO kepada persidangan ini, Houngbo menyatakan kontrak sosial adalah merujuk kepada pemahaman tersirat atau kadang kala eksplisit, tentang tanggungjawab kolektif kita antara satu sama lain yang dinyatakan dalam norma, institusi kolektif dan dasar yang memenuhi janji Deklarasi Philadelphia bahawa “semua manusia, tanpa mengira bangsa, kepercayaan atau jantina, mempunyai hak untuk mengejar kesejahteraan material dan perkembangan rohani mereka dalam keadaan kebebasan dan maruah, keselamatan ekonomi dan peluang yang sama rata”.
Memperbaharui kontrak sosial pula dimaksudkan sebagai “menyampaikan keadilan sosial sebagai asas untuk keamanan yang berpanjangan, kemakmuran bersama, peluang yang sama rata dan peralihan yang adil” di mana prasyarat untuk memperbaharui kontrak sosial dan memajukan keadilan sosial ialah dialog sosial yang telah membolehkan kita membentuk komitmen antara rakan tripartite dalam dunia pekerjaan.
Melalui ucapan negara dalam sidang plenari, Sim mengulas Laporan Ketua Pengarah ILO dengan menyatakan gesaan Houngbo supaya kontrak sosial diperbaharui sememangnya senada dengan zaman dan pandangan kerajaan Malaysia yang mahu memberikan keadilan sosial untuk semua.
Tegas Sim: “Dunia memerlukan model pertumbuhan yang lebih manusiawi. Satu yang membina seseorang secara menyeluruh, bukan menjatuhkan maruahnya.
Kita memerlukan rangka kerja tadbir urus baharu yang memperkasakan lelaki dan wanita, muda dan tua, orang kurang upaya, semua kaum dan agama, semua orang; bukannya sesuatu yang berterusan melucutkan hak mereka.
Model pertumbuhan semasa menyebabkan keuntungan di tangan beberapa kuasa besar, sambil mengenakan beban peraturan, tanggungjawab, kos, malahan moral yang berat sebelah ke atas seluruh dunia – ini adalah pelucutan hak secara sistematik yang dunia perlu hapuskan jika kita mahu memperbaharui kontrak sosial.”
Oleh itu, gesaan ini adalah berbeza dengan tuduhan sesetengah pihak di Malaysia bahawa Sim mahu kontrak sosial yang dicapai antara tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India, sewaktu menuntut kemerdekaan yang antara lainnya meletakkan asas-asas utama kepada Perlembagaan Malaysia, iaitu kedudukan Raja Berpelembagaan, agama Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa golongan Bumiputera dikaji semula.
Memperbaharui kontrak sosial yang dikatakan di Persidangan ILO adalah merujuk kepada Deklarasi Philadelphia membabitkan kepentingan golongan pekerja, bukannya membabitkan persetujuan antara kaum di Malaysia.
Lebih penting lagi, dalam sesi perbincangan sembilan pemimpin ASEAN dengan ILO, Sim menekankan aspirasi Malaysia untuk menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama ILO sekali gus membuka jalan bagi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), serta jabatan dan agensinya seperti Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.
Sim berkata, Kesuma komited untuk memupuk tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan yang boleh bersaing dengan berkesan di pasaran global.
Kesuma juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan ILO dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025.
Sim yakin, program-program yang telah dikenal pasti, termasuk Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) anjuran HRD Corp yang menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan, dapat memudahkan pertukaran pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja selain dapat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan.
Hasrat ini turut didukung oleh Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan ILO, Srinivas Reddy yang memuji Malaysia kerana menunjukkan kemajuan yang cemerlang dalam usahanya untuk mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyat Malaysia di bawah pimpinan dan visi Menteri Sumber Manusia. Reddy yakin bahawa Kesuma akan berjaya memacu agenda pembangunan kemahiran untuk ASEAN tahun depan selaras dengan kedudukan Malaysia yang mempengerusikan ASEAN.
Begitulah besarnya impak penyertaan Malaysia dalam ILC kali ini. – UTUSAN
DR. Mohd. Na’eim Ajis adalah Profesor Madya di Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).











