PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pasukan polis melakukan siasatan rapi berhubung kes melibatkan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan kes pembunuhan membabitkan kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Perdana Menteri berkata, beliau faham keresahan rakyat berhubung kezaliman yang dilakukan tetapi siasatan kes perlu dilakukan melalui proses yang betul tanpa mengikut persepsi atau tafsiran hukum sendiri.
“Sekarang riuh rendah kes penderaan pemain bola sepak, kes pembunuhan seorang kanak-kanak OKU. Kita prihatin, saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia. Saya juga nak tahu mengapalah sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak.
“Kalau saya, saya hendak polis jawab esok, tetapi proses kena lalui. Kita tidak peduli siapa tetapi saya faham rakyat juga rasa resah.
“Tetapi apa yang saya boleh buat dengan Menteri Dalam Negeri iaitu mengarahkan menyegerakan siasatan rapi. Jangan persepsi, hanya fikir mungkin orang ini salah, ikut tafsiran hukum. Ini tidak boleh (berlaku),” katanya ketika berucap dalam Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, dalam merungkai kes berkenaan, beliau pernah memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain supaya menyegerakan siasatan dengan rapi tanpa sebarang campur tangan.
“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang menghukum terus, kata kita melindungi, apa yang melindungi?
“Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat, saya minta disegerakan, kemudian semalam saya panggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini.
“Tetapi Saya kata cari jalan siasat dengan rapi. Itu yang saya kata,” katanya.
Kelmarin, Faisal Halim muncul kali pertama di khalayak mahu individu yang menyimbah asid sulfurik pekat ke badannya diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.
Pada masa sama, kes pembunuhan Zayn Rayyan menjadi tumpuan ramai yang ditemukan mati di Damansara Damai, Selangor Disember tahun lalu.
Kelmarin, ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Dalam pada itu, masyarakat diminta tidak mendahului mahkamah dengan membuat spekulasi berhubung kejadian pembunuhan Zayn Rayyan seperti yang tular dalam media sosial, sejak kelmarin.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sudah dibawa mahkamah, manakala polis juga memberi jaminan siasatan masih diteruskan.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dapat memberikan peluang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Bagi saya, kita tidak perlu berspekulasi dalam hal ini kerana kita tidak tahu sama ada maklumat yang ditularkan itu betul atau tidak. Sekiranya benar perlu ada penjelasan dan sekiranya tidak, perbuatan itu boleh dikenakan tindakan.
“Kita perlu berlaku adil dalam perkara seperti ini, jadi saya akan minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dengan polis sekiranya ada tindakan yang perlu diambil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai, di Taman Desa Rahmat, di sini.
Tambah Fahmi, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mendahului proses mahkamah sebaliknya beri kepercayaan kepada undang-undang negara.










