SHAH ALAM: Tindakan seorang pemuda memandu kereta mewah milik bapanya untuk menghadiri ujian lesen memandu di sebuah institut di daerah ini mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa kelmarin.
Lelaki berusia 18 tahun yang menaiki Mercedes A250 itu ditahan Unit Peronda Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, kira-kira pukul 10.30 pagi.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, penahanan itu dibuat anggota yang sedang melaksanakan tugas sempena Operasi (Ops) Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024.
“Sewaktu ditahan, pemeriksaan lanjut mendapati dia bagaimanapun tiada memiliki lesen memandu. Justeru, saman dikeluarkan serta merta dan kereta itu turut disita ke JPJ Shah Alam bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Azrin, lelaki itu mendakwa diminta bapanya untuk pergi sendiri ke institut memandu tersebut.
Dalam pada itu, beliu berkata, Ops HRAA kali ini dilaksanakan bermula bermula 10 sehingga 30 Jun depan di seluruh Selangor.
“Selain penguatkuasaan, kita menjalankan advokasi keselamatan dan khidmat nasihat berkaitan pemakaian topi keledar terutama kanak-kanak.
“Orang awam yang mempunyai aduan trafik boleh menyalurkannya kepada [email protected] atau aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” ujarnya. – UTUSAN










