Proses pemilihan Undang Luak Rembau ke-22 bermula - Utusan Malaysia

Proses pemilihan Undang Luak Rembau ke-22 bermula

ABDUL Razak Mohd. Yassin (kiri) menerima dokumen pemberitahuan daripada Zaharudin (kanan) pada Istiadat Pemakluman Kekosongan Pesaka Undang Luak Rembau ke-22 di Rembau hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Proses pemilihan Undang Luak Rembau yang baharu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 100 hari mulai 15 Mei lalu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Muhamad Sharip Othman.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pesaka Undang Luak Rembau ke-22, Abdul Razak Mohd. Yassin berkata, proses itu melibatkan tujuh fasa mulai istiadat pemakluman yang dilangsungkan hari ini.

Beliau yang juga Dato’ Perba Luak Rembau berkata, proses itu akan memberi penekanan kepada keindahan adat Luak Rembau, kemuliaan akhlak, kemanisan budi bahasa dan menzahirkan kasih sayang. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Para Dato’ Lembaga yang juga Tiang Balai Luak Rembau berharap proses ini berjalan dengan baik dan lancar serta menepati setiap aturan adat yang telah digariskan sejak sekian lama.

“Ini amat penting kerana kami iaitu para pemimpin Luak Rembau mahu proses ini difahami oleh seluruh anak waris di luak ini hingga adat ini mampu menjadi panduan dan ikutan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas Istiadat Pemakluman Kekosongan Pesaka Undang Luak Rembau ke-22 di Balai Undang Luak Rembau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Rembau, Mohd. Zamri Mohd. Esa dan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed.

Pada majlis itu, Buapak Suku Biduanda Lela Maharaja, Zaharudin Idris melafazkan pemakluman kekosongan pesaka (calon) Undang Luak Rembau ke-22 sebelum menyerahkan dokumen pemberitahuan itu kepada Abdul Razak.

Mengulas lanjut proses yang akan berlaku selepas ini, Abdul Razak berkata, giliran untuk penyandang Undang Luak ke-22 adalah daripada carak (waris adat) Sedia Raja yang mempunyai empat kampung adat.

Jelasnya, semua Buapak dari kampung berkenaan akan mengadakan kerapatan bagi memilih giliran kampung yang akan mencalonkan Undang Luak Rembau yang baharu.

“Kampung yang terpilih akan menghebahkan kekosongan pesaka Undang Luak dan hanya anak-anak waris dari kampung itu yang berminat boleh mengisi borang memohon mengisi jawatan itu.

“Para calon yang disenarai pendek akan ditemuduga oleh pihak kami dengan latar belakang mereka diambil kira seperti pencapaian akademik, pengetahuan tentang adat, agama, pengaulan dengan masyarakat dan hubungan dengan anak waris kampung,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian, pihaknya mengambil sikap berhati-hati dalam mencari benih (calon) yang terbaik melalui tapisan beberapa peringkat bagi memastikan penyandang Undang Luak Rembau ke-22 mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terbaik dan dihormati setiap lapisan masyarakat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×