Majoriti hotel di PD belum buat penyambungan ke sistem pembentungan awam - Utusan Malaysia

Majoriti hotel di PD belum buat penyambungan ke sistem pembentungan awam

MASIH terdapat 34 buah hotel di Port Dickson yang masih belum membuat sambungan kepada sistem pembentungan awam bagi rawatan kumbahan hotel masing-masing dengan lebih terurus dan mengikut piawaian ditetapkan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Hanya 11 buah hotel yang terdapat di sekitar pantai peranginan di sini sudah membuat sambungan kepada sistem pembentungan awam berbanding 34 buah premis hotel yang lain masih belum berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, ada di antara baki hotel yang masih tidak membuat penyambungan kepada sistem pembentungan dikendalikan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) itu melaksanakan sistem rawatan kumbahan mereka sendiri namun tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

Keadaan tersebut menurut beliau boleh menyebabkan kebarangkalian pencemaran terhadap perairan terdekat terutama apabila sistem rawatan kumbahan yang terdapat di hotel-hotel itu tidak diselenggara dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, malahan hasil penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap sistem rawatan kumbahan persendirian milik hotel-hotel itu mendapati 12 daripadanya tidak mematuhi kepada standard Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.

“Bagi mengekang berlakunya kejadian pencemaran, saya meminta kepada pihak-pihak hotel, rumah peranginan dan pengurusan kondominium di Port Dickson ini untuk sentiasa mematuhi keperluan undang-undang yang berkaitan.

“Saya meminta setiap kemudahan kumbahan di setiap premis dapat disambung ke loji rawatan kumbahan berpusat (tapping) supaya pelepasan kumbahan setiap premis dapat dirawat di loji rawatan kumbahan berpusat yang diselenggara oleh IWK,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sesi Libat Urus Pematuhan Pelepasan Kumbahan Bersama Pengusaha Hotel dan Kondominium di Port Dickson di sini hari ini.

S. VEERAPAN (tengah) bersama Hamzah (kiri) dan Pengurus Besar Jabatan Operasi Dan Penyelenggaraan IWK, Ir. Hussin Omar ketika merasmikan Sesi Libat Urus Pematuhan Pelepasan Kumbahan Bersama Pengusaha Hotel dan Kondominium di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Veerapan dalam pada itu menjelaskan, keengganan pihak hotel untuk membuat penyambungan ke loji rawatan kumbahan serantau bukanlah kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Mereka anggap sudah ada sistem sendiri dan boleh merawat sendiri (kumbahan) dan seterusnya melepaskan ke longkang tetapi itu tidak memadai.

“Untuk pastikan isu pencemaran dapat dikawal dengan baik kita harus ikut sistem iaitu sambung kepada loji rawatan kumbahan serantau suaya dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad memberitahu, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai pencemaran yang spesifik disebabkan oleh pelepasan kumbahan hotel-hotel.

“Namun JAS telah mengambil tindakan mengeluarkan notis kompaun di bawah peruntukan perundangan sedia ada terhadap loji rawatan persendirian, hotel yang tidak patuh kepada standard Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 itu,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×