Kontena terbang: Wang tunai RM4.4 juta dirampas, 17 individu ditahan

Kontena terbang: Wang tunai RM4.4 juta dirampas, 17 individu ditahan

ANTARA wang tunai yang dirampas SPRM dalam kes rasuah melibatkan kontena terbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 orang termasuk 11 pegawai kastam bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kontena ‘terbang’.

Selain itu, turut ditahan seramai enam orang pengarah dan pekerja syarikat termasuk seorang runner dan kekasihnya dalam kes berkenaan sehingga berlaku ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 billion di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Menurut sumber, hasil siasatan setakat ini SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai-pegawai kastam terlibat.

“Ini tidak termasuk sebanyak empat buah motosikal Yamaha XMAX bernilai RM28,000, sebuah kenderaan Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai, barang-barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai.

“Tambah sumber, semua sitaan ini adalah sebahagian daripada hasil rasuah yang dapat dikesan SPRM setakat ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam masa sama, sebanyak 12 akaun syarikat dan individu dibekukan dengan anggaran nilai berjumlah RM2 juta.

SPRM juga dalam proses mengesan akaun-akaun lain yang dipercayai digunakan oleh suspek-suspek sindiket ini

Dalam pada itu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) juga memeriksa kesemua 19 kontena yang disita.

Hasil pemeriksaan, sindiket ini membuat pengisytiharan palsu dengan mengisytiharkan barangan seperti wheel chair, tandas duduk, tekstil dan peralatan kesihatan yang tidak bercukai.

Namun hasil pemeriksaan yang dibuat mendapati kesemua kontena terbabit mengandungi pelbagai jenis barangan lain termasuk lampu LED, papan panel solar, lampu solar, peralatan aksesori motosikal, sport rims, kenderaan, part kenderaan, pakaian, teh cina, daging babi proses dalam tin dan sebagainya.

Nilai anggaran keseluruhan 19 kontena tersebut termasuk cukai yang perlu dibayar dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Ini adalah antara kejayaan terbesar SPRM dalam mengekang isu rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan isu ketirisan hasil negara.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (b), Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

“Tindakan mengesan dalang utama sindiket sedang giat dijalankan melalui pelbagai kerjasama agensi luar negara,” tambah beliau.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM memberikan kenyataan bahawa negeri-negeri yang mempunyai kemudahan pelabuhan kini dalam perhatian SPRM bagi mengesan ketirisan hasil cukai kepada kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×