Kolej UNITI Port Dickson, 2 universitas Kalimantan jalin kerjasama

Kolej UNITI Port Dickson, 2 universitas terkemuka Kalimantan jalin kerjasama

AMIR Hamzah Md Isa mewakili Kolej UNITI Port Dickson pada majlis penyerahan dokumen persetujuan persefahaman dengan Rektor Universitas Muhammadiyah Pontianak, Dr. Doddy Irawan di Pontianak, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIANAK: Kolej UNITI Port Dickson bakal menjalinkan kerjasama bersama dua buah universiti terkemuka di Kalimantan Barat, Indonesia dalam bidang akademik, penyelidikan, pelaksanaan program kursus jangka pendek dan latihan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, kerjasama strategik berkenaan melibatkan Universiti Tanjungpura (UT) dan Universitas Muhammadiyah Pontianak.

Beliau berkata, UT merupakan universiti tertua di Kalimantan Barat dan UMP pula satu daripada 178 institusi pendidikan tinggi (IPT) Muhammadiyah di seluruh Indonesia.

“Kerjasama tersebut turut memberi peluang kepada Kolej UNITI Port Dickson melaksanakan program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar serta pertukaran pelajar dalam bidang berkaitan bersama kedua-dua buah universiti berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Amir berkata, kampus UT yang terletak di pusat bandar Pontianak, menempatkan kira-kira 35,000 mahasiswa manakala lebih 5,000 pelajar sedang melanjutkan pengajian di UMP alam pelbagai bidang.

Amir berkata, Kolej UNITI Port Dickson merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian halal secara formal, iaitu Diploma Pengurusan Industri Halal pada tahun 2013 dan akan berkongsi pengalaman seterusnya membantu kedua-dua universiti itu melahirkan lebih ramai sumber manusia bagi memenuhi keperluan industri halal tempatan.

“Kerjasama ini turut melibatkan program mobiliti, pertukaran pelajar antara institusi dan kerjasama dalam proses pengambilan pelajar,” katanya.

Tambah beliau, sejak 2022, Kolej UNITI Port Dickson telah menjalin kerjasama dengan Institut Pertanian Bogor (IPB) Universiti di Bogor, Jawa Barat dan hubungan strategik bersama universiti antara terbaik di Indonesia itu telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam bidang berkaitan halal.

Katanya, pemilihan Kolej UNITI Port Dickson yang merupakan Penyedia Latihan Halal yang mendapat perakuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebagai rakan strategik IPB dua tahun lalu dan dua universiti terkemuka di Pontianak merupakan satu pengiktirafan besar yang cukup bermakna.

“Sejak sedekad lalu, Kolej UNITI melalui Pusat Kecemerlangan Halal UNITI (UHAC) telah melahirkan ribuan graduan bidang halal termasuk lebih 20 orang dari Indonesia. Kita juga sehingga ke hari ini sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×