PETALING JAYA: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun diramal memiliki masa depan cerah jika kekal konsisten sepertimana ketika mereka menumbangkan jaguh-jaguh dunia yang menduduki ranking lebih tinggi sebelum menjadi naib juara pada Terbuka Indonesia.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, gandingan ke-20 dunia mara ke pentas final kejohanan berstatus Super 1000 ini merupakan pencapaian positif jika dibandingkan persembahan di perlawanan besar sebelum ini.
“Persembahan mereka (Wei Chong-Kai Wun) ketika di Malaysia Masters dan Terbuka Singapura bulan lalu hanya mencapai piawaian standard. Namun saya teruja apabila di Indonesia mereka beri aksi sangat konsisten.
“Saya lihat peluang mereka cerah di hadapan. Mereka melihat peluang itu di depan mata dan mengambil keputusan dengan cepat untuk mengatasi lawannya. Saya harap mereka terus meningkatkan prestasi mereka agar mampu menjadi pemain berkelas utama,” katanya.
Terdahulu, impian pasangan negara untuk bergelar juara dimusnahkan oleh gandingan China Liang Wei Keng-Wang Chang 21-19, 16-21, 12-21 pada aksi final Ahad lalu di Istora Senayan.
Biarpun menjadi naib juara pada kejohanan bertaraf Super 1000, Wei Chong-Kai Wun mahu lebih mencipta kejutan dan bukan mengatakan ini pencapaian terbaik mereka.
Menurut Wei Chong, beliau bersama pasangannya enggan berpuas hati susulan mahu meneruskan serta meningkatkan momentum mereka itu pada jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan datang.
“Saya dan Kai Wun bangga dengan prestasi kami di Indonesia. Namun masih ada yang perlu diperbaiki. Saya mahu rentak ini diteruskan.
“Beberapa perkara yang kami perlu pertingkatkan dan sudah tentu kami mahu yang lebih baik daripada kejohanan ini pada yang akan datang,” kata Wei Chong.
Untuk rekod, kali terakhir wakil Malaysia merangkul gelaran pada Terbuka Indonesia menerusi acara beregu lelaki ialah Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2008. – UTUSAN










