KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan meletakkan calon Pas yang mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan mengumumkan calon untuk PRK itu Sabtu ini.
“Penyandang yang meninggal dunia ialah ADUN Pas jadi kita akan kekalkan begitu. Kerusi itu adalah kerusi Pas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat PN di sini malam semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun pula sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.
Dalam pada itu, Muhyiddin menyangkal tuduhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan membantu PRK tersebut.
“Orang tidak nampak kami turun sebagai PN, bukannya sebagai Bersatu. Ia jadi seperti cakap-cakap Pas tidak turun di PRK Kuala Kubu Baharu.
“Walaupun calon Pas, kita akan bekerjasama dengan bersungguh-sungguh sebagai PN di Sungai Bakap,” katanya.
Beliau berkata PN sudah menubuhkan jawatankuasa untuk pilihan raya di peringkat Pusat dan negeri, sambil menambah jentera gabungan itu sudah bersedia untuk bekerja demi kemenangan PN. – UTUSAN











