KOTA BHARU: Kemarau yang melanda negeri ini sejak Mac lalu menyaksikan seramai 3,587 pesawah dibawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengalami kerugian sebanyak RM58 juta.
Pengerusinya Muhammad Husain berkata, jumlah yang direkodkan itu membabitkan keluasan hampir 8,900 hektar sawah di enam jajahan hasil laporan Jawatankuasa Penilai Tabung Bencana Tanaman Padi Peringkat KADA.
Menurutnya, KADA memandang serius perkara berkenaan dan sudah membentangkan satu laporan serta cadangan bantuan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk mendapatkan kelulusan di peringkat Persekutuan.
“KADA akan terus komited dan berusaha untuk mencari solusi yang terbaik bagi membantu para pesawah menghadapi kerugian yang ditanggung,” katanya menerusi kenyataan media di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan dana sebanyak RM1.8 juta melalui peruntukan pembangunan negeri di bawah Program Pembangunan Industri Padi bagi membantu pesawah terjejas akibat kemarau.
Dalam pada itu, kira-kira 15 pesawah di tiga buah bendang iaitu Teluk Jering, Kajang Sebidang dan Cherang Melintang mendakwa kerugian lebih RM100,000 selepas padi yang diusahakan rosak akibat kemarau.
Lebih memeritkan, mereka tidak sempat mendaftar kerosakan padi dengan KADA kerana permohonan itu sudah tamat tempoh.
Abdullah Mat Yusoff, 61, berkata, mereka gagal mendaftar kerana semasa pendaftaran padi masih belum dituai.











