SUNGAI PETANI: Kira-kira 15 kawasan longgokan sampah haram dikesan di persisiran Hutan Simpan Kekal (HSK) Paya Bakau, Sungai Merbok, di sini.
Antara yang dibuang di kawasan itu termasuk bekas makanan polisterin, sisa makanan dan lampin pakai buang yang berselerak sehingga mengundang bau busuk.
Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, tabiat membuang sampah di kawasan persisir sungai bakau itu dipercayai telah berlaku sejak lebih 50 tahun lalu.
Menurutnya, kegiatan itu berpunca daripada sikap segelintir penduduk yang bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah turut mengancam ekosistem di kawasan tersebut.
“Sikap tidak berdisiplin dan kurang kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar menyebabkan tabiat membuang sampah ini terus berlanjutan sehingga ke hari ini meskipun sebelum ini terdapat beberapa pihak yang telah menasihati penduduk di sini, hari ini.
“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana bukan saja boleh menjejaskan pertumbuhan pokok bakau di kawasan tersebut malah akan merebak dan mencemarkan Sungai Merbok,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi pembuangan sampah haram itu di sini.
Tambah Abdul Gafar, terdapat puluhan spesis bakau di kawasan itu yang menjadi tarikan pelancongan tempatan dan luar negara dan patut dipelihara semua pihak.
“Jika tidak, kesannya terhadap biodiversiti di dalam sungai ini juga akan terganggu pembiakannya dan diancam kepupusan jika tiada tindakan segera yang dilakukan bagi mengatasi masalah ini, selain turut menjejaskan mata pencarian nelayan,” ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya bersama beberapa agensi lain telah membuat perbincangan untuk mengadakan program gotong-royong dan kempen kesedaran kepada penduduk di kawasan itu.
“Selagi mana kita boleh berusaha untuk menguruskan sampah ini dengan sebaiknya, kita akan buat kerana tahun depan adalah Tahun Melawat Kedah dan kawasan hutan bakau ini m antara lokasi tumpuan pelancong, jadi kita perlu buat persediaan,” katanya. -UTUSAN











