KUALA TERENGGANU: Seorang wanita didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah melakukan aktiviti pelacuran, tahun lalu.
Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri membuat keputusan itu hari ini selepas menerima pengakuan salah daripada Nor Hasmidah Ismail, 31.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing didakwa telah mencari langganan bagi maksud persundalan.
Nor Hasmidah didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah inap di Kampung Tok Kaya dekat sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 Ogos 2023.
Turut dirampas di tempat kejadian adalah wang tunai RM550, sebuah telefon bimbit dan dua kotak kondom.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan (KK).
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 dan tiga bulan penjara jika gagal bayar kepada tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan wang tunai rampasan dilucut hak menjadi hasil kerajaan manakala telefon bimbit tertuduh dipulang semula dan barang kes lain dilupuskan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norita Alias. – UTUSAN










