Peniaga Pasar Kedai Payang rayu kaji harga sewa premis

Peniaga Pasar Kedai Payang rayu kaji harga sewa premis

BEBERAPA peniaga menunjukkan surat tawaran premis baharu Pasar Kedai Payang di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 400 peniaga Pasar Kedai Payang di sini merayu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) meng­kaji semula kadar sewa premis baharu yang didakwa tinggi dan membebankan.

Mereka mendakwa terkejut apabila harga sewa premis di bangunan baharu dinaikkan hampir 400 hingga 485 peratus berban­ding di premis lama sebelum ini.

Bangunan Pasar Kedai Payang baharu yang berharga RM70.03 juta itu dijadualkan beroperasi pada 1 Julai ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan Negeri, Ahmad Sukri Abdullah berkata, harga sewa yang ditetapkan MBKT didapati tinggi dan membebankan.

Menurutnya, saiz premis di bangunan baharu itu juga sama iaitu dua kategori seluas tiga meter lebar dan tiga meter panjang serta enam meter lebar dan tiga meter panjang.

“Harga sewa kedai di bangunan lama bagi tiga meter lebar dan tiga meter panjang ialah RM110 sebulan manakala di bangunan baharu RM400 sebulan.

“Sementara itu, kedai ber­ukuran enam meter lebar dan tiga meter panjang pula daripada RM360 dinaikkan RM1,600 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ahmad Sukri memberitahu, beliau telah menghantar surat rayuan kepada MBKT untuk menurunkan harga sewa kedai di bangunan baharu itu.

“Kebanyakan peniaga mengharapkan MBKT mempertimbangkan rayuan mereka kerana harga sewa tersebut agak mahal kerana pendapatan bersih mereka kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebulan sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pe­niaga, Wan Saidah Wan Abdul Ghani, 37, berkata, mereka sebelum ini difahamkan harga baharu sewa premis dinaikkan RM50 sahaja tetapi didapati melambung terlalu tinggi.

“Pendapatan peniaga di Pasar Kedai Payang tidak menentu kerana bergantung kepada jenis perniagaan yang diusahakan.

“Mereka memperoleh pendapatan agak tinggi pada musim cuti sekolah dan pera­yaan, manakala hari-hari biasa berkurangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini