BUTTERWORTH : Seorang pembantu penguatkuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas lapan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM8,000 daripada pengarah syarikat logistik, enam tahun lalu.
Tertuduh, Zainuddin Jaafar, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelapan, tertuduh didakwa menerima wang sebanyak RM1,000 setiap bulan daripada seorang pengarah syarikat logistik berkaitan penguatkuasaan ke atas lori mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wang tersebut diterima oleh tertuduh menerusi akaun bank milik isterinya yang berusia 48 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Mei hingga Disember 2018 di sebuah cawangan bank di Taman Desa Murni, Butterworth.
Sehubungan itu, pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Y. Anbananthan.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri pejabat SPRM setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai depan.-UTUSAN










