Mengharapkan pengakhiran yang terbaik

Mengharapkan pengakhiran yang terbaik

BERUNTUNGLAH mereka yang menghargai masa dengan menyiapkan bekalan untuk akhirat. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMATIAN sudah pasti dan tidak mungkin dimungkiri oleh sesiapa atau makhluk yang bernyawa. Hal ini telah dijelaskan melalui firman Allah SWT bermaksud “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Al-Imran, ayat 185).

Beruntunglah mereka yang menghargai masa yang diberikan dengan menyiapkan bekalan untuk akhirat dan rugilah bagi mereka yang masih tertipu dan terpedaya dengan kesenangan hidup di dunia serta bercita-cita mengejar pangkat kebesaran.

Al-Quran mencatatkan pelbagai kisah pengakhiran manusia yang pergi dan tidak kembali lagi yang jelas memberi kesan mendalam terhadap pembentukan diri dan jiwa manusia agar tidak tertipu dengan segala kemewahan dan kesenangan yang ditawarkan dunia.

Manusia masih lagi berusaha mengumpul kekayaan, mengejar kuasa dan pengaruh seperti Firaun, menjadi pengampu kepada pemerintah yang zalim seperti Haman dan segerombolan manusia yang melewati masa sehingga kini.

Pengakhiran Firaun dan pengikutnya memberi pengajaran besar buat orang-orang yang beriman agar mampu membina karamah insaniah (kemuliaan diri) dengan mengelak diri daripada terjebak dengan sikap dan perlakuan rakus demi mengejar pangkat kemewahan dunia dan alpa terhadap hari kematian yang mungkin terjadi pada bila-bila masa.

Dunia tidak menjanjikan apa-apa yang baik dan kekal melainkan hanya tipu daya dan keseronokan yang bersifat menipu. Manusia yang tertipu akan hanyut dengan sifat tersebut melainkan mereka yang sentiasa sedar dan berusaha untuk menyiapkan bekalan pada hari yang dijanjikan Allah kekal abadi.

Justeru, marilah bersama-sama membina kehidupan ini sepertimana Rasulullah SAW membina Madinah dengan kerangka iman dan takwa agar manusia terselamat daripada tipu daya dunia dan manusia yang rakus mengejar pangkat kebesaran.

Setiap insan pasti mendambakan pengakhiran yang baik dan mengharapkan kejayaan hakiki iaitu menjadi hamba pilihan-Nya untuk menjadi penghuni Syurga Firdaus yang kekal abadi.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×