PETALING JAYA: Keberkesanan penyasaran subsidi bahan api diesel ini perlu dipantau secara dekat oleh kerajaan di samping memastikan semua langkah hendaklah diambil segera sekiranya wujud tanda-tanda penyelewengan atau tidak menepati sasaran.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya juga berharap kerajaan dapat meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menghalang pihak mengambil kesempatan menaikkan harga atau memanipulasi pasaran yang sudah tentu memberi kesan negatif ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat.
Bagaimanapun katanya. Pas mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran diesel, namun pada masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaannya khususnya kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat.
“Selain itu, wujud kebimbangan berhubung kemampuan kerajaan sendiri untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah.
“Dalam konteks ini, Pas berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, kumpulan berpendapatan rendah dan lain-lain akan diliputi sepenuhnya bawah langkah pengecualian yang disediakan melalui proses pendaftaran yang mudah diakses.
“Ini termasuk peranan proaktif agensi terbabit memastikan mereka dikesan dan dibantu sewajarnya. Kerenah atau ketidakcekapan birokrasi misalnya tidak harus menjadi penghalang dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan.
Pas merujuk pengumuman kerajaan bahawa harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula hari ini.
Kenaikan sebanyak RM1.20 seliter itu, bagaimanapun boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, selain itu pihaknya melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan kerajaan menangani isu kebocoran serius yang berlaku terutamanya melibatkan aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira tiga juta liter sehari.
Katanya, agensi keselamatan di sempadan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempunyai peranan besar yang perlu digembleng sepenuhnya bagi memperkukuh mekanisme penyasaran subsidi agar dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Pas berharap kerajaan akan meningkatkan peranan pemantauan dan penguatkuasaan domestik bagi menghalang pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau memanipulasi pasaran yang sudah tentu akan memberi kesan negatif ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya. – UTUSAN










