PSU: Dari puncak Everest ke liga utama negara - Utusan Malaysia

PSU: Dari puncak Everest ke liga utama negara

KontinJen UiTM meraikan kejayaan sebagai juara keseluruhan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) Tahun 2019. -UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (PSU) yang meraikan sambutan jubli emasnya tahun ini pada asalnya adalah hanya Unit Sukan Institut Teknologi Mara (ITM).

Unit itu ditubuhkan pada 1971 dan diterajui oleh Idris Noordin. Kemudian pada 1976, Ameran Rerah pula dilantik sebagai ketua unit.

Tahun 1992 menyaksikan perubahan pucuk pimpinan kepada Mustaza Ahmad sebagai peneraju unit sukan atau PSU sehingga kini.

Unit sukan UiTM secara rasmi dinaiktaraf kepada PSU pada 2001 yang mana tanggungjawab sebagai pusat menjadi lebih besar merangkumi keseluruhan pembangunan sukan UiTM di seluruh negara.

MUSTAZA AHMAD

Kewujudan PSU yang berusia 50 tahun tersebut dengan pelbagai pencapaian membanggakan dipenuhi cabaran yang bukan sedikit.

Menurut Mustaza yang menjadi tulang belakang kejayaan PSU, pusat tersebut bukan sekadar melahirkan ikon sukan balapan dan gelanggang semata-mata.

“Malahan PSU telah melahirkan dua pendaki puncak tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest dalam kalangan pelajar dan seorang kakitangan.

“Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang ketika itu berusia 27 tahun merupakan pendaki Gunung Everest muda dari Asia Tenggara. Beliau bersama temannya Ahmad Reduan Rozali, 22, berjaya mendaki Gunung Everest setinggi 8848 meter dari aras laut,” katanya ketika ditemui di PSU di Shah Alam baru-baru ini.

Laporan muka depan Utusan Malaysia tentang kejayaan dua mahasiswa UiTM pada tahun 2004. 

Mustaza berkata, kejayaan yang mereka capai pada Mei 2004 bukan sahaja satu rekod sebagai mahasiswa UiTM malahan belum mampu dipecahkan oleh mana-mana mahasiswa Universiti Awam (UA) setakat ini.

Katanya lagi, selain dua ikon mahasiswa tersebut, seorang kaki tangan PSU turut berjaya sampai ke puncak Everest iaitu, Allahyarham Mohd. Fauzan Hassan.

“Kecemerlangan UiTM dalam mencipta rekod diteruskan pada 2018 apabila Ekspedisi Kayak Nusantara UiTM telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai The Largest Kayaking Expedition.

“Ekspedisi ini melibatkan sejumlah 204 mahasiswa UiTM dan 102 kayak menyusuri Selat Melaka dari Port Dickson ke Tanjung Agas pada 20 hingga 22 Julai 2018.

“Kejayaan ini memperlihatkan bagaimana perancangan PSU dalam meletakkan UiTM sebagai pemegang MBR dari program mendaki puncak Gunung Everest sehingga menyusuri pesisir lautan Selat Melaka,” katanya.

PSU LAHIR JAGUH PELBAGAI BIDANG

Selain sukan ekstrem tersebut jelasnya, PSU turut melahirkan jaguh-jaguh negara dalam pelbagai bidang sukan di pelbagai peringkat, universiti, negeri, nasional, Komanwel dan Olimpik.

Kewujudan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi hasil kertas kerjanya jelasnya lagi pada awal 1990-an, menjadikan PSU lebih aktif melahirkan jaguh dan graduan sukan secara serentak.

“Selain kejayaan sukan ekstrem dan penubuhan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi tersebut, PSU juga melahirkan ramai ahli sukan bertaraf antarabangsa seperti peserta sukan perahu layar Sukan Olimpik Jepun, Khairulnizam Mohd. Afendy, peserta sukan memanah Sukan Komanwel (Sukom), Mohd. Marbawi Sulaiman, penembak Sukom, Suriyani Mohd.Taibi dan lain-lain.

“Selain itu terdapat tokoh korporat yang pernah aktif bersama PSU seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh yang pernah bermain sepaktakraw untuk ITM dan arkitek membina menara jam di Mekah, Datuk Ir. Wan Nazri Wan Aria yang merupakan pemain badminton,” katanya.

Mengenai pencapaian terbaharu PSU, Mustaza memberitahu, setelah hampir setengah abad melahirkan atlet untuk negara, PSU pada 2009 melalui pasukan bola sepaknya telah menyertai Liga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, UiTM FC yang dianggap pasukan ulat buku, menongkah cabaran Liga Perdana dengan bergaya sebelum menjadi pesaing di dalam Liga Super sejak tahun 2020.

“Kini UiTM FC sudah mencipta rekod bermain dari peringkat Divisyen Satu, Piala FA, Liga Super, Piala Malaysia dan dengan perancangan yang sistematik insya-Allah mampu bertanding di peringkat lebih tinggi di ASEAN atau Asia,” katanya.

Mengenai prestasi UiTM FC, kejayaan pasukan tersebut dari peringkat bawah hingga ke liga utama adalah berikutan program kecemerlangan sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ia memberi UiTM tanggungjawab menjadikan sukan bola sepak sebagai sukan yang membawa nama universiti ke peringkat tertinggi dalam bidang sukan tersebut.

Hasilnya kata Mustaza, dengan peruntukan yang ada, pasukan tersebut mampu memberi saingan dengan pasukan teratas liga pada masa ini.

“Walaupun dianggap pasukan budak sekolah, kemampuan kita masuk Liga Super dan bersaing dalam Piala Malaysia tahun lalu tetap mengundang perhatian kawan dan lawan.

“Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), UiTM FC dan lain-lain pasukan tetap komited untuk bersaing dalam Liga Super secara gelembung sukan,” katanya.

Selain bola sepak, sukan hoki juga jelasnya menempatkan UiTM pada kelas yang tersendiri hingga mampu bersaing dengan pasukan ternama.

Antara kejayaan terbaik pasukan hoki UiTM adalah berada di tempat kelima dalam Liga Premier dan menyasarkan tempat ke empat daripada 11 pasukan.

“Jika ditelusuri kejayaan kita memasuki ke liga utama bukan mudah. Kita bermula sebagai Juara Divisyen Satu Liga Hoki Malaysia (MHL) untuk beberapa tahun sebelum mara ke Liga Premier,” katanya.

Kejayaan PSU ibarat tiada titik noktah. Sukan ragbi turut menjulang nama institusi pengajian tinggi awam tersebut ke persada liga utama di negara kita.

Mustaza yang bakal bersara tahun ini berkata, pasukan ragbi UiTM yang ditubuhkan pada 1976 bukan sahaja mencipta seorang pemain tetapi ramai alumninya telah berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×