Pada saat itu, Shahrul hanya mampu membacakan Surah Yasin kepada neneknya yang sedang nazak. Jiran-jiran kampung telah mengelilingi Wan Chik (panggilan untuk neneknya) yang susah-susah menarik nafas, terhenti seketika dan kemudian tersekat-sekat apabila menghembusnya. Kerongkong Wan Chik berbunyi nyaring, matanya kadang terpejam dan kadang terbuka.
Sudah menjadi kelaziman orang kampung, jika ada sakit demam apatah lagi penduduk sedang nazak, pasti mereka akan datang menziarah. Ini adalah tradisi orang kampung turun temurun,
Seorang demi seorang bapa dan ibu saudaranya sampai. Mereka memeluk Wan Chik dengan kejap, berjurai air mata. Pada ketika mereka membisik ampun maaf pada Wan Chik, Wan Chik tetap juga begitu, bergelut untuk menarik dan menghembus nafas. Wan Chik sememangnya mempunyai penyakit asma, tetapi kali ini mereka pasti, ini bukanlah serangan asma seperti kebiasaannya, ini adalah petanda masa Wan Chik hampir tiba. Semuanya sekata bersetuju Wan Chik sedang Nazak. Shahrul memerhati ibunya yang bersimpuh bersandar pada dinding rumah, berteman bapa tirinya.
Shahrul dalam mencuri-curi pandang nuansa ketika itu, dia mengulang kembali bacaan surah Yasinnya, rambutnya yang terkeluar dari kopiah dimasukkan kembali. Para pelawat silih berganti, ada yang baru datang dan ada yang mula berangkat pulang. Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Jemaah dari surau pun sudah bergerak balik tadi, setelah membaca satu pusingan Surah Yasin diketuai Imam Pian.
Shahrul tahu andai ditakdirkan neneknya meninggal dunia malam ini, esok atau dalam masa terdekat. Kehidupannya bakal berubah, sejak dari awal merosotnya kesihatan neneknya.
Ibunya telah berusaha untuk mengambil Shahrul balik duduk bersama. Namun Datuknya Bilal Leman, berkeras untuk terus menjaga Shahrul. Dialah yang mengulang menjenguk Shahrul di asrama sekolah tahfiz. Dua belas tahun bukanlah satu masa singkat untuk Bilal Leman. Shahrul itu bukan lagi seperti cucunya, tetapi seolah anak kesayangan Bilal Leman. Setiap kali ada pelepasan pulang dari asrama sekolah Tahfiz, jaranglah Shahrul pulang ke rumah ibunya di bandar. Kebanyakan masa Shahrul dihabiskan bersama dengan datuknya.
Pada usia tiga tahun. Ibunya berkonflik dengan bapa kandungnya yang enggan mengikut ibunya berhijrah ke bandar. Ibunya mendapat tawaran kerja di bandar, lagi pun bagi ibunya kehidupan di kampung ini tiada kelas.
Tetapi ayah kandungnya tidak pandai bekerja dengan cara orang bandar. Dia selesa bekerja di ladang dan kebun.
Akhirnya ibu bapa kandung Shahrul bercerai, habis idah ibu Shahrul mengikut ayah tirinya kini ke Kuala Lumpur. Ayah tirinya lebih segak berbanding dengan ayah kandungnya, sungguh pun hanya bekerja sebagai penyelia kilang, gayanya tidak kalah dengan pengurus kilang manakala ayah kandungnya membawa diri entah ke mana natijah bebatan jiwa yang tidak dapat dibendung. Tinggallah Shahrul bersama dengan datuknya Lebai Leman dan neneknya Wan Chik.
Ibunya jarang-jarang membekalkan wang belanja kepada Shahrul. Kata ibunya, adik-adiknya lebih memerlukan belanja. Kehidupan di bandar memerlukan belanja besar. Lainlah di kampung makanan boleh dipetik sekeliling rumah tinggal beli beras, gula dan garam sahaja.
Selari beredar zaman. Shahrul mulai faham duduk di kampung bukanlah semudah seperti kata ibunya, tambahan dengan keuzuran datuk dan nenek. Mereka semakin susah untuk mendapatkan wang. Nasiblah Lebai Leman ada sebidang tanah ladang sawit dan kebun pisang, dapatlah juga menampung kehidupan mereka bertiga sehari-hari.
Pukul 1.15 pagi, keadaan Wan Chik semakin lemah. Penziarah sudah ramai pulang ke rumah. Suasana kampung berbeza dengan suasana di kota. Di kampung pukul 10 malam keadaan sudah terlalu bening. Para penghuni hampir semua telah menarik selimut, melayan lena.
Akhirnya Wan Chik menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas pangkuan anak bongsunya Mak Su Thirah. Anak-anak Wan Chik melepaskan rasa sedih dan hiba. Laporan polis pun dibuat untuk tindakan selanjutnya, doktor dengan panggilan dari polis hadir untuk mengesahkan kematian. Seakan ada satu sistem automatik di kalangan penduduk kampung itu. Masing-masing pun memainkan peranan untuk menghebahkan berita kematian, menyiapkan persediaan pengebumian dan urusan-urusan lainnya. Pihak masjid memukul beduk tiga kali, menandakan ada kematian di kampung itu.
Apabila urusan pengebumian selesai, tahlil pun diadakan selama tiga malam seadanya. Bilal Leman dengan berat hati melepaskan Shahrul mengikut ibunya. Kenangan-kenangan bersama Shahrul jelas bermain bagai pawagam dalam minda Lebai Leman, pilu hiba hati saat menatap kereta anaknya Rafidah membawa Shahrul pergi. Bilal Leman memandang ke hadapan rumah, tempat Wan Chik mengerjakan kebun kecilnya. Di kebun kecil itu, Shahrul rajin membantu Wan Chik bercucuk tanam.
Pagi sebelum Wan Chik jatuh sakit teruk. Embun tebal menyelebungi kawasan itu. Bilal Leman sudah pesan pada Wan Chik untuk tidak ke turun ke tanah dahulu. Dia itu alah pada sejuk, risau kesejukan itu kelak mengundang asmanya.
Tetapi Wan Chik tidak petah berdiam diri dalam rumah, sebaik menjamah nasi goreng, dia terus ke tanah. Shahrul lewat sedikit turun pagi itu, dia menghabiskan bacaan satu juzuk al-qurannya terlebih dahulu. Bilal Leman telah ke kebun melihat orang mengait sawit.
Apabila Shahrul sampai ke kebun kecil neneknya. Neneknya telah tersandar pada pokok ciku dengan nafas tercungap. Segera dia memanggil jiran, Wan Chik ditahan di hospital dan memandangkan umurnya yang telah lanjut tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak hospital. Bilal Leman menandatangani borang kebertanggungjawaban untuk membawa Wan Chik pulang seperti mana dikehendaki pihak hospital.
Bilal Leman menyeka air matanya dengan bahu, tidak sedikit pun air mata dia tunjukkan kepada orang ramai kelmarin. Namun, hati mana yang tidak hiba pasangan yang hidup selama hampir 70 tahun pergi terlebih dahulu.
ii
Kuala Lumpur, Shahrul bersekolah di sekolah aliran perdana. Memandangkan dia mempunyai kemahiran menghafal yang sangat baik. Banyak subjek akademik dikuasainya dengan baik.
Suatu petang, ketika habis aktiviti kokurikulum dia duduk di kerusi berhadapan pentas dewan terbuka sekolah. Di atas pentas dia melihat para pelajar sedang berlatih pementasan teater. Dia tidak pernah melihat keadaan seperti itu sepanjang berada di sekolah pondok tahfiz dahulu. Dia begitu kagum.
Guru pengajar teater pada awalnya tidak mengendahkan kehadiran Shahrul. Baginya Shahrul adalah seperti pelajar-pelajar naif lain. Shahrul mengambil skrip yang ada di atas kerusi sebelahnya, dia membaca dua tiga muka surat berulang. Kemudian matanya kembali leka melihat latihan lakonan tersebut.
Pelakon utamanya tergagap-gagap melafazkan dialog, shahrul tanpa sengaja melafaz dialong yang baru dibacanya tadi dengan kuat. Cikgu Din yang sibuk membetulkan lakonan pelakon-pelakon tadi, tarkejut dengan kebolehan Shahrul. Bermula di situlah, Shahrul ditawar berlakon teater. Dia diberi watak seorang ustaz, pada asalnya watak itu tiada, tetapi demi memberi ruang kepada Shahrul untuk berlakon. Watak itu dimasukkan kemudian.
Sekolah mereka memenangi pertandingan teater. Shahrul berterusan mendapat tawaran dalam produksi-produksi bebas. Setelah dua tiga penglibatannya, Shahrul mula bosan dengan kehidupan seperti itu. Baginya itu bukanlah dirinya, dia mohon izin dari ibunya untuk kembali ke sekolah Tahfiz. Ibunya setuju tetapi ditentang oleh bapa tirinya.
Bapa tirinya, Pak cik Razlan sudah ada rancangan lain untuk Shahrul.
“Engkau akan mula berlakon drama cuti sekolah akan datang,” sampuk Pak Cik Razlan yang mendengar perbualan dua beranak itu.
Shahrul memandang ibunya kemudian kepada Pak Cik Razlan dan sekali ke arah roman ibunya yang terpinga.
“Kita perlukan wang belanja, adik-adik engkau masih kecil, jika engkau berlakon dapatlah menampung duit belanja engkau sendiri,” tambahnya.
Ibu Shahrul bingung perkara itu tidak pernah dibicang bersama dengannya. Jadi, dia tidak pasti jawapan yang bagaimana yang mana mahu diberi kepada suami atau anaknya itu.
“Saya tidak mahu,” Shahrul cuba membangkang.
“Sudahlah, jangan degil, ini bukan rumah datuk engkau, aku buat keputusan yang lain hanya ikut.” Perlahan tetapi penuh tajam perkataan Pak Cik Razlan itu bagi Shahrul.
Shahrul pandang ibunya sekali lagi, mengharapkan sokongan daripada ibunya. Ibunya hanya menggeleng kemudian ke meja untuk mengemaskan tempat makan mereka.
Hari demi hari, Shahrul membesar dengan dikenali sebagai pelakon versatile. Watak jahat, baik dan alim semuanya boleh dibawa olehnya.
Menjelang umur 17 tahun, dia sudah mendapat anugerah pelakon paling popular. Walaupun pada kebiasaannya anugerah itu, dimenangi oleh pelakon-pelakon lebih senior. Ketika mengambil hadiah dia hanya hanya tersenyum di rostrum ketika diminta berucap, dan terus beredar. Meninggalkan peserta dengan tanda tanya.
Esoknya, keluarlah berita tentang tingkah misteri Shahrul pada malam anugerahnya tersebut.
Pak Cik Razlan menjadi pengurus peribadinya. Segala perjanjian bayaran, pakaian, jadual masa diursakan Pak Razlan. Natijah jadual lakonannya yang padat, dia sering ponteng sekolah dan pelajarannya tersangat corot.
Shahrul tidak peduli lagi tentang pelajaran, baginya apabila dia tidak dibenarkan ke sekolah pondok hidupnya telah tamat di situ. Kini hidupnya hanya bekerja untuk ibunya dan pak Cik Razlan menyara keluarga.
Shahrul menjadi manusia tanpa kehendak, dia tidak memegang duit hasil pekerjaannya sendiri. Semuanya pada Pak Cik Razlan, kehidupan mereka terutamanya Pak Cik Razlan semakin mewah. Kemewahan itu mengundang kata-kata orang tentang manipulasi Pak Cik Razlan. Pak Cik Razlan tidak endah kata orang, Shahrul apatah lagi. Dia hanya mengikut, selagi ibunya tidak menghalang.
iii
“Malaysia ini dunia lakonan ini kecil, cepat naik, cepatlah jatuh,” bisik seorang pelakon wanita dalam lingkungan pertengahan 20-an kepada seorang lagi pelakon wanita yang lain.
Shahrul yang kebetulan baru habis babaknya, lalu bersebelahan mereka.
“Aku tidak pernah kisah, jatuh naik, aku hanya ingin bekerja,” pelakon wanita tadi melongo, dan tersipu mengetahui bisikan mereka di dengari.
“Betul, janji masyuk…,” tegur seorang lagi pelakon lelaki, sambil menanggalkan kotnya untuk diletakkan kembali ke wardrobe.
Mereka berdua gelak, pelakon lelaki yang baru menanggalkan kotnya menyalakan rokok, menghulurkan pada Shahrul.
Bau perat asap rokok itu menawan bilik persalinan mereka. Bau itu menghalau dua pelakon wanita yang baru bergosip tentang dirinya. Kini hanya tinggal mereka berdua di dalam bilik persalinan tersebut, disamping beberapa krew yang sibuk membuat persiapan untuk pakaian watak seterusnya esok.
Shahrul dan rakan lakonannya tadi tergelak-gelak, walau diusik dengan perkara-perkara kecil. Hatta cicak yang melintas pun menjadi bahan jenaka untuk mereka. Mudah sekali naluri ketawa mereka di geletek.
Shahrul merasa dirinya dalam bilik itu, mula terpisah daripada realiti. Segala apa terpendam dalam benaknya tiba-tiba muncul menari-nari di hadapan matanya. Tiba-tiba dalam tawa itu, dia terdiam.
Rakannya lakonnya tadi sudah terbaring lena di atas sofa. Pada hadapannya begitu jelas dia melihat, nuansa saat-saat akhir arwah neneknya meninggalkannya.
Setiap tangisan, raungan, bisikan dan percakapan pada ketika itu begitu jelas dimainkan kembali di telinga. Seorang lelaki datang kepadanya dan memintanya berdiri, memeriksa tubuhnya dan bilik persalinan tersebut.
Pelakon Lelaki Paling Popular, Ditangkap Terlibat Penyalahgunaan Dadah.
Begitulah lebih kurang berita tersebar di seluruh media sosial dan media perdana selepas beberapa jam dia dibawa ke balai polis oleh jabatan anti narkotik untuk tujuan ujian air kencing dan soal siasat. –UTUSAN










