KUALA LUMPUR: Golongan wartawan perlu menerapkan sifat empati dan kemanusiaan yang tinggi dalam diri masing-masing ketika menjalankan tugas jika ingin menjadi seorang pengamal media yang berjaya dan berwibawa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain guru, kumpulan wartawan juga menggalas tanggungjawab berat sebagai golongan penting yang dapat mengangkat martabat insan.
“Tanggungjawab seorang (wartawan) itu besar, jadi mereka harus menyampaikan berita dengan sifat empati.
“Boleh berbeza pendapat namun jika ingin faham orang lain perlu wujud rasa empati, harus ada keinginan dan hasrat untuk memahami orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2023 di Hotel Majestic Kuala Lumpur, malam ini.
Tambah Anwar, kerajaan juga tidak akan berkompromi sekiranya wujud sebarang laporan yang menyebabkan keresahan dalam kalangan rakyat, terutamanya yang menyentuh mengenai isu sensitif seperti perkauman, agama dan Raja (3R).
“Kalau ia berdasarkan fakta tidak apa, tapi kalau sehingga menggugat itu tidak boleh. Apa lagi soal Islam atau agama lain.
“Apakah mesti melontar idea yang hanya akan menimbulkan prasangka, kebencian, atau kerunsingan? Islam tidak mungkin berkembang dengan pandangan demikian,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan agar isu-isu yang boleh memecahbelahkan rakyat dan menghakis nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat tidak lagi diangkat bagi menjaga keamanan negara.
“Bagaimana kita hendak menilai seorang wartawan itu berjaya? Sudah pasti mereka ini bekerja dengan perasaan dan keyakinan serta mempunyai semangat dalam profesion tersebut.
“Saya sendiri bercakap dengan semangat jadi saya yakin, Malaysia mampu menjadi negara hebat jika kita tumpu pada matlamat kita.
“Bagaimanapun, jangan diheret isu-isu yang memecahbelahkan (rakyat) dan memaparkan kedangkalan serta keangkuhan sehingga terhakisnya kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN










