KUALA LUMPUR: Media Mulia berjaya menggondol tiga kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 20223 yang berlangsung di Hotel Majestic di sini, malam ini.
Penolong Ketua Kreatif Utusan Malaysia, Mohamad Sany Misnan dinobatkan Pemenang Emas bagi kategori Infografik Terbaik menerusi karya bertajuk ‘Potensi Sungai Batu Pahat’ yang membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta sijil dan trofi.
Jurufoto Utusan Malaysia, Shiddieqiin Zon pula dinobatkan sebagai Pemenang Emas bagi Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang apabila gambarnya bertajuk ‘Keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil’’ terpilih dan membawa pulang wang tunai RM10,00 berserta sijil dan trofi
Sementara itu, wartawan kanan Utusan Malaysia, Ku Muhamad Syafiq Ku Mohd Fozi memenangi Pemenang Perak bagi kategori Penulisan Kolum Terbaik menerusi ‘Menjentik lagu pop cinta bebal’, ‘Meneroka keunggulan pop 80’an’ serta ‘Yang biasa dan yang bermakna’.
Seramai 118 pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023 (HKM 2023) diiktiraf dan diraikan.
HKM MPI-Petronas mencatatkan peningkatan penyertaan 21 peratus, iaitu 488 karya telah diterima berbanding 369 berbanding tahun lalu.
Dalam ucapan alu-aluan, Presiden MPI, Datuk Yoong Soo Heong berkata, jumlah penyertaan pada edisi kali ini adalah yang tertinggi sejqk diperkenalkan pada tahun 1980.
“Dalam konteks ini, kami berharap bahawa laporan penyiasatan mengenai rasuah, amalan buruk, ketirisan wang atau ketidakcekapan di dalam negara akan diberi lebih perhatian.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kita betapa pentingnya mengamalkan tadbir urus yang telus dan teratur untuk menjadikan Malaysia lebih dinamik dan progresif.
“Ini adalah satu gambaran bahawa wartawan lebih mengambil berat tentang mutu karya mereka, bangga dengan keupayaan mereka serta memaparkan hasil karya terbaik untuk dipertandingkan,” katanya.
Menurut Yoong, kebanyakan wartawan menulis bukan semata-mata untuk melihat nama mereka tetapi mereka didorong oleh semangat jati diri bagi memberi gambaran sebenar, pendedahan atau penjelasan kepada sesuatu isu yang penting di dalam negara demi kebaikan masyarakat Malaysia. – UTUSAN










