Penyakit darah pisang bukan sesuatu yang asing bagi pengusaha tanaman varieti berkenaan.
Ia bagaikan mimpi ngeri kerana mampu mengakibatkan kehilangan hasil sehingga 65 peratus. Malah tiada kaedah kawalan berkesan selain memusnahkan kesemua tanaman pisang di lokasi yang dijangkiti.
Suatu ketika pernah berlaku serangan penyakit darah pisang ini sehingga menjejaskan 50 ekar tanaman pisang yang menjejaskan hasil dan menyebabkan kerugian sebuah koperasi di Perak.
Mengekang dari terus berlaku, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengorak langkah menghasilkan teknologi Kerintangan Sistemik Teraruh (ISR) bagi meningkatkan rintangan pokok terhadap agen perosak.
Teknik ini dapat meningkatkan ketahanan pokok terhadap penyakit melalui pengaruhan yang dilaksanakan menggunakan bakteria baik.
Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Sains, Tanah Air dan Baja, Dr. Ganisan Krishnen berkata, teknologi berkenaan telah diuji cuba di ladang dan hasil menunjukkan ia mampu mengawal penyakit darah pisang sehingga 92 peratus.
“Aktiviti mengenal pasti bakteria baik itu dijalankan di kawasan ladang pisang bermula tahun 2016.
“Daripada penyelidikan itu kita dapati ada 54 bakteria baik yang boleh memberi ketahanan kepada pokok.
“Seterusnya daripada jumlah itu kita tapis lagi dan mendapati ada lima bakteria yang sangat bagus untuk kerintangan penyakit darah pisang,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran teknologi berkenaan di Putrajaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, hanya satu bakteria yang diguna pakai dalam inokulan ISR iaitu Bacillus sp. berdasarkan prestasi penjimatan masa dan peningkatan hasil tanaman.
ISR dibangunkan pada 2016 dan menelan kos sebanyak RM220,000. Keseluruhan dana penyelidikan dikeluarkan oleh MARDI bagi mengurangkan masalah berkaitan tanaman pisang.

KURANGKAN JANGKITAN PEMBUNUH
Penemuan alternatif berkenaan juga bukan sahaja dapat mengurangkan jangkitan ‘pembunuh’ utama tanaman pisang, lebih menarik kerana ia dapat membantu dalam peningkatan hasil tani sehingga 50 peratus.
ISR berkesan dalam meningkatkan kesuburan, mempercepatkan proses pengeluaran jantung dan kematangan pisang bagi proses penuaian.
Dr. Ganisan berkata, dalam kajian dilakukan mendapati rawatan ISR boleh mempercepatkan tunas jantung sebanyak 20 peratus.
“Selalunya keluar jantung selepas 9 bulan dipindahkan ke ladang. Rawatan ISR mengurangkan tempoh itu kepada 6 bulan 2 minggu. Oleh itu, ia mempercepatkan proses sebanyak 20 peratus.
“Kami ada menjalankan perbandingan tanaman yang diletakkan Gladiator dan yang tidak diletakkan. Hasil menunjukkan tanaman yang diletakkan Galdiator mempunyai proses tumbesaran yang lebih pantas,” katanya.
Mengulas mengenai kaedahnya, Inokulan ISR atau dikomersialkan sebagai Gladiator 1.0 ini perlu dicurahkan pada akar pokok mengikut sukatan yang disyorkan oleh penyelidik MARDI.
Proses berkenaan boleh dilaksanakan secara manual menggunakan penceduk minuman atau secara semi-mekanisasi dengan penggunaan alat Adjustable Volume Liquid Gun (AVLG).
“Kekerapan aplikasi pula ialah sekali setiap bulan selepas anak benih dipindahkan ke ladang bagi satu pusingan tanaman iaitu bersamaan 18 bulan. Siraman berlebihan tidak diperlukan kerana ia hanya akan membazirkan ISR yang ada.
Dianggarkan kos aplikasi Gladiator ini adalah sekitar RM2.70 untuk satu musim. Ini bermakna untuk ladang satu ekar yang mengandungi 660 pokok, kos bagi satu musim penanaman bersamaan 18 bulan adalah RM11,782.

APLIKASI DI LADANG PENGUSAHA
Ketika ini, penggunaan Gladiator sedang diaplikasikan secara berskala besar di ladang pengusaha bermula hujung tahun lalu.
Mengambil tempat di ladang berkeluasan 1.4 hektar di Port Dickson, Negeri Sembilan bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pengusaha.
“Kita mahu tahu apa masalah yang dihadapi oleh pengusaha apabila mengaplikasikan teknologi ini selain memberikan khidmat nasihat. Kita menunggu hasil dan akan membuat penilaian ekonomi seterusnya nanti,” ujar Dr. Ganisan.
Tambahnya, teknologi ini dihasilkan dengan menggabungkan teknologi ISR dengan amalan-amalan perladangan yang baik, kawalan penyakit dan perosak serta amalan lepas tuai sedia ada.
Pengamalan Amalan Perladangan Baik (GAP) adalah disyorkan untuk meningkatkan keberkesanan teknologi ISR untuk kawalan penyakit darah pisang.











