PRK Sungai Bakap: Peluang PH lebih cerah

PRK Sungai Bakap: Peluang PH lebih cerah

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap daripada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 6 Julai nanti.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berpandangan, kelebihan itu susulan senario di PRK DUN Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, selain PH sebagai kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Kalau dahulu memang ada kelebihan kepada Pas yang di­sebut gelombang hijau sehingga membadai kawasan di Utara, tetapi di Kuala Kubu Bharu dilihat ada peralihan sokongan orang Melayu dan pengundi awal kepada PH.

IMPAK

“Ini memberi mesej Kerajaan Perpaduan ada impak dan rak­yat melihat pentadbiran Datuk Seri Anwar memberi harapan kepada mereka.

“Selain itu, sudah pasti kerajaan menguasai negeri dan Persekutuan ada kelebihan sebab boleh tawar macam-macam dalam soal kebajikan serta masa depan pengundi ke­rana mereka mempunyai fasiliti dan organisasi yang lebih besar berbanding Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, undi Melayu dijangka menjadi penentu kepada kemenangan calon di PRK berkenaan.

Katanya, ini kerana PH diyakini sudah mendapat sokongan kira-kira 40 peratus pengundi bukan Melayu di kawasan tersebut.

“Jika PH dapat 15 peratus undi Melayu, maka sudah boleh menang sebab mereka sudah dapat solid 40 peratus (undi bukan Melayu),” katanya.

Tambah Mazlan, kemena­ngan PRK Sungai Bakap penting sebagai psikologi gelombang hijau sudah lemah.

“Gelombang hijau boleh dianggap tergugat seandainya Pas kalah dalam pilihan raya itu.

“Kalau Pas boleh pertahan kerusi itu, maka gelombang hijau ternyata masih kuat, jadi sukar bagi kerajaan ambil alih kawasan di utara pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti,” katanya.

PENENTU

Sementara itu, penganalisis, Dr. Azmi Hassan berpendapat, kira-kira 30 hingga 40 peratus pengundi Melayu yang neutral menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya itu.

Namun, katanya, pihaknya tidak menolak Pas mampu mempertahankan DUN Sungai Bakap tetapi jumlah majoriti­nya pasti berkurangan daripada 1,500 undi seperti yang diperoleh sebelum ini.

Katanya, Pas boleh memainkan isu seorang pemandu teksi yang berkemungkinan bukan Islam menghina Islam dan ibu bapa sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) yang mempersoalkan dasar Program Dwibahasa (DLP).

“Ini boleh mempengaruhi sokongan orang Melayu yang mungkin melihat kerajaan ne­geri dan Persekutuan tidak sensitif dengan isu agama Islam dan bahasa Melayu.

“Ini memberi sedikit ruang kepada Pas untuk meraih undi orang Melayu. Jika Pas mampu kekalkan majoriti 1,500 undi, maka itu adalah kemenangan besar sebab Pas bukan kerajaan di peringkat negeri dan Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×